Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Sambutan rai kecemerlangan perkhidmatan awam

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Bertepatan dengan tema Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) bagi tahun 2023 hingga 2025 iaitu ‘Keberdayatahanan dan Perpaduan Perkhidmatan Awam Pemangkin Kesejahteraan Negara’, perkhidmatan awam sudah pastinya menjadi sebuah institusi dinamik yang bergerak mengikut arus peralihan zaman yang sangat kompleks serta menempuhi cabaran-cabaran yang tidak dijangka termasuk mendepani krisis pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

    Hal ini telah memberikan impak terhadap landskap perkhidmatan awam dan tidak kurangnya memberikan kesan terhadap kesihatan mental dalam tiga tahun kebelakangan ini.

    Krisis tersebut juga telah memaksa setiap penjawat awam untuk memiliki kedayatahanan yang tinggi, sentiasa bersikap proaktif, responsif, inovatif dan tangkas serta mempunyai sikap perpaduan sesama warga perkhidmatan awam.

    Ketika negara berdepan dengan situasi pandemik COVID-19, teknologi tidak lagi menjadi pilihan malahan satu kemestian dalam memastikan kelangsungan pemberian perkhidmatan yang cemerlang kepada orang awam bagi mencapai kesejahteraan negara.

    Dalam pada negara menghadapi pasca pandemik, salah satu teras keunggulan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada setakat mana warga kerjanya sentiasa berpandangan jauh dan mengamalkan nilai-nilai yang luhur lagi murni serta mengekalkan produktiviti kerja yang tinggi, di samping mengutamakan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan di tempat kerja.

    Pameran Khas Hari Perkhidmatan Awam menjadi tarikan semasa Sambutan Kemuncak HPA ke-30 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 31 Oktober 2023. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    Justeru itu, perkhidmatan awam perlulah sentiasa mempertingkatkan kredibiliti dan kompetensi setiap pegawai dan kakitangan dan mengekalkan amalan budaya berprestasi tinggi secara berterusan agar tampil berani dan bersedia bangkit dengan semangat yang jitu dalam menyahut cabaran-cabaran semasa.

    Kerjasama erat dan bersepadu di antara agensi-agensi kerajaan dan juga agensi yang berkepentingan perlu diperkukuhkan lagi bagi memacu ekonomi negara agar tetap berdayatahan dalam menangani dan meminimumkan kesan dan risiko sebarang krisis global termasuklah isu perubahan iklim yang sedang dihadapi pada masa
    ini.

    Oleh yang demikian, asas utama yang perlu dimiliki setiap pegawai dan kakitangan ialah takwa dan ihsan yang perlu diperkukuhkan bagi tujuan menghasilkan tenaga kerja yang berdaya tahan serta sentiasa beriltizam dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang kepada orang ramai dan sektor swasta sebagai penyumbang kepada Wawasan Brunei 2035.

    TIGA ERA EVOLUSI PERKHIDMATAN

    Semasa Sambutan Kemuncak HPA ke-30 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, pada 31 Oktober, anugerah-anugerah perkhidmatan awam iaitu Anugerah Penghargaan Khas Jasawan Perkhidmatan Awam (APKJPA); Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) melalui Penarafan Bintang, Anugerah Inovasi Perdana (AIP); Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) dan Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB2PA), telah dianugerahkan kepada para penerima bagi menghargai jasa dan usaha mereka ke arah perkembangan dan kemajuan perkhidmatan awam di negara.

    Selain itu majlis juga diserikan dengan Pameran Khas Hari Perkhidmatan Awam. Pameran berkenaan menampilkan sejarah, perubahan dan pembaharuan Perkhidmatan Awam yang diperlihatkan melalui tiga era dalam evolusi perkhidmatan awam di negara ini.

    Tiga era berkenaan merangkumi era pertama yang bermula dengan evolusi sistem residen dari tahun 1906 sehingga 1966 iaitu semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien; era kedua pula bermula dari 1967 hingga 1983 iaitu dari pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika menaiki takhta hingga sebelum Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan; dan era ketiga merangkumi tahun 1984 setelah Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan sehingga sekarang.

    Dalam pada masa yang sama, pameran turut menampilkan 12 agensi kerajaan yang memainkan peranan penting, selain menunjukkan kesepaduan kementerian-kementerian dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada orang ramai.

    Agensi-agensi berkenaan ialah Pejabat Wawasan; Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perbendaharaan; Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Pendidikan; Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan; Kementerian Pembangunan; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Kementerian Kesihatan; dan Tabung Amanah Pekerja.

    Selain itu, terdapat juga segmen pameran yang memperlihatkan projek-projek kemasyarakatan daripada peserta-peserta program kepimpinan dalam perkhidmatan awam iaitu Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) yang giat berusaha melalui projek masing-masing dengan penglibatan masyarakat dan melalui kerjasama dengan pihak-pihak bukan kerajaan (NGO).

    Kumpulan yang terlibat dalam tajuk-tajuk projek yang diketengahkan berkenaan ialah Revitalisasi Balai Raya Kampung Lubok Pulau sebagai Pusat Sehenti Komuniti, The Goodwill Krew – Pantri Kitani, Glow Up Within, Baja Buddies, dan Graduate Psychological Well-Being.

    Di akhir petak pameran turut memperlihatkan anugerah-anugerah perkhidmatan seperti 3PSA dan AIP yang bertujuan mengekalkan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...