Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Ahli Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei IV, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi guru-guru ugama Kawasan Brunei IV di Dewan Sekolah Menengah Awang Semaun, Kampung Sungai Kebun, pagi tadi.
Acara yang diadakan antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sedia ada antara pegawai-pegawai JPI dengan guru-guru ugama Kawasan Brunei IV di samping memeriahkan lagi suasana sambutan berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin selaku Penghulu Mukim Lumapas dan isteri.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Awang Murni bin Haji Ibrahim. Diteruskan dengan ucapan daripada Pegawai Pengajian Islam Daerah, Kawasan Brunei IV, Hajah Mu’izzah binti Kefli.
Acara turut diserikan dengan persembahan daripada guru-guru serta tayangan video.
Majlis serupa juga telah diadakan bagi guru-guru sekolah ugama Kawasan Brunei I pada 18 April lalu di Hotel Higher, Kiulap yang dihadiri oleh Pemangku Pengarah (Profesional), JPI, Hajah Erni Yusnani binti Haji Mohd Noor.