Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan raya kukuh hubungan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Bagi memeriahkan semangat Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan peserta BIBD Advocating Life-Long Learning for Aspiring Future (BIBD ALAF) bersama keluarga mereka serta peserta program BIBD Special Entrepreneurial Empowerment and Development Scheme (BIBD SEED), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya yang menggabungkan tradisi, pendidikan dan semangat kemasyarakatan yang berlangsung di Dewan Munawarrah, Setia Point, Berakas, hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Lembaga BIBD, Badan Penasihat Syariah BIBD, pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan, pengurusan kanan BIBD, ahli-ahli BIBD ALAF Taskforce serta pihak-pihak berkepentingan relevan yang lain.

    Majlis dimulakan dengan graduasi 10 peserta kohort ke-6 bagi program BIBD SEED di mana program itu bermatlamat untuk memupuk keusahawanan di kalangan wanita kurang berkemampuan serta memupuk kedayatahanan ekonomi.

    Sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka menamatkan program berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin telah menyampaikan geran kepada penerima-penerima untuk menyokong peringkat seterusnya usaha mereka.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bergambar ramai semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar yang menerima BIBD ALAF Star Awards, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan geran kepada salah seorang penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir di majlis itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sejak penubuhannya pada Ogos 2020, program BIBD SEED telah menjadi sebuah kuasa transformatif, melengkapkan peserta-peserta dengan ketajaman perniagaan mustahak untuk menyumbang secara bermakna kepada ekonomi mantap Brunei.

    Pada 2024, sebagai sebahagian daripada pengambilan kohort ke-6, 11 pemohon baharu yang mewakili pelbagai agensi termasuk Jabatan Pembangunan Masyarakat di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Rakan Seliaan di bawah Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Usahawan Berkarih Yayasan di bawah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan orang ramai telah mengambil bahagian dalam program berkenaan.

    Para peserta telah melalui proses pemilihan yang ketat termasuk temu duga dan pembentangan produk sebelum memulakan bootcamp intensif selama lima hari sebagai fasa pertama program selama enam bulan itu.

    Majlis diteruskan dengan BIBD ALAF Star Awards yang menyaksikan seramai 52 orang pelajar BIBD ALAF menerima pengiktirafan bagi kecemerlangan akademik dan keputusan cemerlang mereka dalam tahun akademik 2024.

    Pelajar-pelajar BIBD ALAF terus mengekalkan kadar lulus 100 peratus dalam peperiksaan BC GCE A Level dengan kebanyakan pelajar mencapai 3 A Level. Sementara itu, dalam peperiksaan GCE O Level dan peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), pelajar-pelajar BIBD ALAF juga terus mengekalkan keputusan cemerlang.

    Pencapaian itu menggariskan usaha berterusan BIBD kepada menyokong pembangunan pendidikan dan memperkasa belia Brunei.

    Sejak penubuhannya pada 2013, BIBD ALAF telah menyediakan bantuan kewangan, bimbingan dan sokongan holistik kepada lebih 330 orang pelajar kurang berkemampuan, membantu mereka mengejar matlamat akademik serta membina masa depan yang lebih cerah.

    Program itu juga selaras dengan komitmen BIBD kepada menegakkan Maqasud al Shariah, menyokongan Wawasan Brunei 2035 dan menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Matlamat 1 (Tiada Kemiskinan) dan Matlamat 4 (Pendidikan Berkualiti).

    Sehingga hari ini, tujuh orang peserta BIBD ALAF sudah bekerja dengan agensi-agensi yang berlainan.

    Acara Hari Raya tahunan itu bukan sahaja mengukuhkan ikatan BIBD dengan masyarakat tetapi ia juga mengetengahkan komitmennya kepada memperkasa generasi akan datang menerusi pendidikan dan keusahawanan.

    BIBD ALAF terus menjadi sauh harapan dan peluang untuk keluarga di seluruh Brunei, mencerminkan peranan BIBD sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan negara dan pemerkasaan masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda