Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam (IWCB) telah mengadakan Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang dihadiri beberapa anggota Kor Diplomatik di Brunei Darussalam di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini.
Antara yang hadir ialah Duta Besar Amerika Syarikat, Duta Besar Republik Filipina, Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan dan isteri-isteri dari Kedutaan Persekutuan Rusia, Turkiye dan Republik Islam Iran.
Majlis dimulakan dengan pengenalan ahli jawatankuasa baharu yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam IWCB, Hajah Mahanum Abu Zar, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Naib Presiden, Naz Rashid. Dalam ucapan, beliau mengalu-alukan kehadiran para tetamu dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dalam menjayakan acara itu.
Majlis tersebut merupakan acara pertama untuk tahun ini yang dianjurkan jawatankuasa di bawah jawatankuasa eksekutif baharu bagi penggal 2025/2026.
Acara dimeriahkan dengan pertunjukan kebudayaan yang dipersembahkan oleh tujuh pelajar dari Sekolah Chung Hwa, Diketuai oleh Lim Yen, persembahan itu terdiri daripada alat muzik tradisional Cina guzheng, yang dimainkan sejak berabad-abad lalu pada zaman Dinasti Tang 600AD.