Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) pagi tadi mengadakan acara kemuncak Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia di Dewan Digadong, KKBS.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pemangku Pengarah JAPEM, Dayangku Siti Saihalina binti Pengiran Haji Mohd Daud yang antara lain berkata, sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia diraikan setiap 20 November di seluruh dunia dan juga tidak terkecuali Negara Brunei Darussalam tahun ini, merupakan sambutan kali ke-18.
Sambutan itu juga merupakan usaha berterusan ke arah komitmen Negara Brunei Darussalam yang telah meratifikasikan Konvensyen Hak Kanak-kanak serta meningkatkan lagi semangat kesatuan dan kesedaran mengenai hak-hak dan kesejahteraan kanak-kanak dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, tema sambutan tahun ini Setiap Kanak-Kanak Punya Hak yang memfokuskan setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kelainan upaya, tanpa mengira latar belakang, kebolehan atau keadaan berhak menikmati akses kepada hak-hak mereka seperti perlindungan, kasih sayang dan pendidikan sepenuhnya untuk membesar dalam persekitaran yang selamat dan membina masa depan yang lebih cerah.
“Pada tahun ini juga, Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia juga dimeriahkan dengan beberapa program yang telah disusun dengan gabungan tenaga MyActionforSDGs serta sokongan kerjasama rakan-rakan strategik dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk badan-badan bukan kerajaan,” kongsinya.
Sambutan tahun ini telah dimulakan dengan pembarigaan melalui platform radio dan televisyen, media cetak dan media sosial pada 13 November yang lalu dan diteruskan pada 20 November menerusi perutusan daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Manakala acara kemuncak Sambutan Hari Kanak-kanak 2024 hari ini dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional Adai-Adai dari Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang II dan persembahan koir Generasi Berwawasan dari Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar Kiarong.
Acara dihadiri oleh seramai kira-kira 60 penuntut dari Tahun 9 dan 10 daripada sekolah-sekolah kerajaan dan swasta bagi mendidik mereka tentang hak kanak-kanak dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui Bengkel Voices of Children yang bertajuk Memperkasa Kanak-kanak untuk Turut Serta: Hak Kanak-kanak dan SDG.
Dengan adanya bengkel yang diadakan diharap dapat berkongsi inspirasi kepada penuntut-penuntut untuk berempati, menggalakkan advokasi dan tindakan, memupuk kerjasama dan kreativiti, dan meraikan kejayaan untuk memacu perubahan yang bermakna dalam komuniti.