Hasrat pelakon Malaysia, Rozita Che Wan meraikan ulang tahun perkahwinan ke-10 pada 11 Disember ini tertunda selepas beliau disahkan positif COVID.
Walaupun semua persiapan sudah dibuat, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta memilih membatalkan acara tersebut kerana bimbang akan menyebarkan virus kepada tetamu.
“Ikutkan semua persiapan nak raikan ulang tahun perkahwinan sudah siap termasuk jemputan, lokasi majlis, solekan, busana sudah diatur.
“Tapi apakan daya, pada 8 Disember lalu saya melakukan ujian kendiri COVID-19 dan keputusannya positif… Nampaknya gelombang baru virus ini datang lagi.
“Saya pun tak mahu risikokan diri, keluarga dan tetamu pada majlis itu nanti. Jadi lebih baik ditunda terlebih dahulu,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Rozita memberitahu ketika ini beliau menjalani kuarantin di rumah selain keadaannya sedikit lemah kesan jangkitan COVID.
Kata Rozita, selain gangguan tidur, beliau juga mengalami sakit kepala kronik dan batuk tanpa henti.
“Pagi tadi saya buat lagi ujian kendiri dan masih positif. Harap semua akan baik-baik sahaja selepas ini,” katanya.
Rozita turut berpesan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati memandangkan virus tersebut kembali menular.
“Jadi kita jangan ambil mudah perihal virus ini yang belum lagi ‘nyah’ dalam hidup kita,” katanya.
Untuk rekod, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia 10 tahun.
Che Ta juga mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Ammar Affendy, 27, dan Aniq Ezzra, 25. – Agensi


