Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan ulang tahun panda

    ADELAIDE – Dengan nyanyian selamat hari jadi daripada para pelawat, panda di zoo Adelaide, selatan Australia menyambut hari jadi yang kesepuluh baru-baru ini.

    “Saya mengucapkannya selamat hari jadi,” kata Madison Muscat yang berusia lapan tahun itu. Dia memakai baju panas dan seluar bercorak panda begitu juga kembarnya, Imogen memakai pakaian bercorak panda.

    Madison yang sangat teruja itu mengatakan bahawa panda adalah haiwan kegemarannya kerana ia sangat comel.

    Ibunya, Vanessa Muscat memberitahu kepada Xinhua bahawa anak perempuannya terutama Madison telah jatuh cinta kepada panda-panda tersebut sejak dia datang buat pertama kali untuk menyaksikan haiwan di zoo Adelaide semasa berusia satu tahun.

    “Kami mempunyai banyak panda di rumah,” kata ibunya dan bercakap mengenai Madison, beliau berkata ‘bilik tidurnya dipenuhi dengan corak panda dan impiannya adalah untuk pergi ke China suatu hari nanti dan memegang anak panda’.

    Salah seekor panda dilihat meraikan hari jadinya di zoo tersebut. – Agensi

    Zoo Adelaide merupakan zoo kedua tertua di Australia, yang mempunyai sejarah lebih daripada 130 tahun dengan sekitar 2,500 ekor haiwan. Dua ekor panda iaitu Wang Wang, yang bermaksud ‘Net Net’ dan Fu Ni bermaksud ‘Lucky Girl’ tiba pada bulan November 2009 sebagai panda yang pertama di Hemisfera Selatan.

    Elaine Bended, Ketua Eksekutif Sa Zoo, memberitahu bahawa panda-panda tersebut terkenal di sini.

    “Kami cukup berbesar hati kerana panda-panda gergasi ini berada di sini seama 10 tahun. Sejak ia datang pada tahun 2009, kami mempunyai sekitar empat juta pelawat yang melawat ke zoo ini untuk menyaksikan Fu Ni dan Wang Wang. Penduduk di Adelaide adalah seramai 1.5 juta orang,” katanya.

    Wang Wang dilahirkan pada 31 Ogos 2005 dan Fu Ni 23 Ogos 2006. Hari jadi kedua-duanya disambut setiap tahun.

    “Setiap tahun kami akan menyambutnya dengan berbeza supaya orang awam akan datang dan menyambut hari jadi haiwan ini. Kami mempunyai sekumpulan sukarelawan untuk membuat beberapa persediaan agar dapat dinikmati oleh panda dan orang awam yang datang untuk menyaksikannya,” kata Bensted.

    Tema pada tahun ini adalah Winnie the Pooh, dengan menggunakan watak-watak berbeza Winnie the Pooh, mereka akan mengisi bekas yang dipenuhi dengan makanan kegemaran panda.

    Mereka menyembunyikan lobak merah dan sebagainya, katanya lagi, Panda-panda tersebut akan berusaha untuk mencari hadiah itu dan membukanya seperti membuka hadiah Krismas.

    Connie Girardi, penjaga panda di zoo itu memberitahu Xinhua bahawa panda-panda tersebut mempunyai personaliti yang berbeza. Fu Ni cerdik, yakin dan keras kepala, sentiasa tahu apa yang dimahukannya, manakala Wang Wang pula sangat santai.

    Beliau berkata, setiap hari haiwan ini mempunyai dua orang penjaga untuk menjaga pasangan tersebut. Ketika panda menikmati sarapannya dalam pukul 8 dan 9 pagi, penjaga itu akan membersihkan kawasan panda tersebut.

    Ia bukan kerja yang mudah kerana kawasan tempat tinggal bagi seekor panda merupakan antara yang terbesar di dunia.

    Kelakuan panda-panda juga akan diperhatikan melalui CCTV setiap masa, oleh itu, apabila panda lapar, ia akan diberikan makan.

    “Ia memilih daripada 10 jenis buluh setiap hari dan panda-panda itu sering menukar cita rasanya. Zoo juga telah menanam buluh seluas 30 ekar untuk panda itu. Kedua-duanya juga menerima sumbangan dana, ” kata Girardi.

    Pada waktu lapang, Wang Wang dan Fu Ni akan melukis dengan berus. Sambil memanggil Wang Wang artis, Girardi menyatakan bahawa Fu Ni juga menyukai permainan tarik kalat bersama penjaga dan ia selalu menang setiap masa. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda