BANGKOK, 16 MEI – Polis Thailand telah menahan seorang sami Buddha atas dakwaan menyeleweng lebih AS$9 juta daripada sebuah kuil terkenal yang diketuainya, hasil sumbangan daripada para penganut agama.
Penyiasat dari Biro Penyiasatan Pusat (CIB) mendakwa Ketua Sami Phra Thammachiranuwat dari Wat Rai Khing telah mengalihkan lebih 300 juta baht (AS$9.05 juta) dari akaun bank kuil ke dalam akaun peribadinya.
Menurut laporan media tempatan, jejak aliran wang dari kuil yang terletak di pinggir barat Bangkok itu telah dikesan menuju ke satu rangkaian perjudian dalam talian haram yang menjalankan permainan kad bakarat.
Kuil-kuil di Thailand, negara majoriti penganut Buddha, banyak bergantung kepada pendapatan daripada upacara membuat kebajikan di mana para penyumbang menderma dengan harapan memperoleh tuah dan kelahiran semula yang lebih baik.
Polis telah mendakwa Phra Thammachiranuwat atas tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, menurut Timbalan Pesuruhjaya CIB, Jaroonkiat Pankaew dalam sidang media kelmarin.
Pihak berkuasa turut menahan seorang suspek kedua dan sedang menyiasat sama ada terdapat individu lain yang terlibat. Media tempatan turut melaporkan bahawa ketua sami berkenaan kini telah meninggalkan dunia sami.
Wat Rai Khing, yang dipercayai diasaskan pada tahun 1851, menempatkan replika tapak kaki Buddha dan merupakan salah satu kuil paling terkenal di kawasan pinggir bandar Bangkok.
Penahanan sami dari kuil terkenal ini telah mencetuskan reaksi hebat di media sosial.
“Kali seterusnya saya akan menderma kepada hospital atau sekolah demi tujuan yang baik, bukan kepada kuil,” tulis seorang pengguna di platform media sosial X.
Namun begitu, ada juga yang menyeru umat Buddha agar terus teguh dalam kepercayaan mereka.
“Bukan semua sami jahat. Jangan pukul rata,” tulis seorang lagi pengguna di X. – AFP
