Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sami lekat kening palsu untuk guna kad kebajikan

    BANGKOK, 4 DIS – Satu hantaran di Facebook memaparkan seorang sami di Thailand melekatkan kening palsu pada wajahnya supaya dapat menggunakan kad kebajikan kerajaan, menjadi tular, baru-baru ini. Tiga gambar sami yang tidak dinamakan itu dimuat naik di halaman CNew Viewer 4K pada jam 11:17 pagi waktu tempatan dan dalam masa beberapa jam, hantaran tersebut menerima hampir 8,000 reaksi termasuk emoji ketawa, lebih 370 komen dan 1,500 perkongsian.

    Hantaran itu menyatakan sami tersebut menghadapi kesukaran menggunakan hak kebajikan kerana aplikasi pembayaran di kedai gagal mengenal pasti beliau sebagai orang yang sama dalam gambar pada kad kebajikan.

    Pemegang kad kebajikan mesti menunjukkan kad pengenalan mereka di kedai yang dibenarkan, di mana aplikasi pembayaran kerajaan mengimbas wajah untuk pengesahan.

    Bagaimanapun, ketiadaan kening sami – satu keperluan untuk sami Buddha – menghalang sistem daripada mengesahkan identitinya.

    Untuk menyelesaikan masalah itu, kakitangan kedai menggunakan pita pelekat hitam untuk membuat kening palsu.

    Penyelesaian itu berjaya dan aplikasi tersebut akhirnya meluluskan pembayaran.

    Gambar yang dimuat naik turut memaparkan seorang kakitangan lelaki sedang menampal pita pelekat sebagai kening, seorang lagi wanita mengimbas wajah sami tersebut dan satu lagi gambar wanita itu menutup wajahnya sambil ketawa melihat penyelesaian kreatif tersebut. — ANN/The Nation

    Gambar ANN/The Nation
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda