Wednesday, March 26, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Samima hulur bantuan kepada golongan memerlukan, anak yatim

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang hanya dalam beberapa hari saja lagi, kebanyakan ahli keluarga semestinya sedang rancak menghiasi rumah mereka. Namun ada antara mereka mungkin merasai kesulitan akibat tekanan kewangan yang tidak mencukupi, terutamanya golongan yang kurang berkemampuan.

    Dalam usaha membantu meringankan beban golongan fakir dan miskin, Samima Sdn Bhd bersama anggota masyarakat lain telah tampil memberi sumbangan kepada keluarga fakir dan miskin serta anak-anak yatim di negara ini.

    Sumbangan berkenaan telah disampaikan dalam majlis Doa Selamat yang diadakan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (MSSBRPAD) kelmarin yang mana sebanyak 20 keluarga fakir dan miskin serta 16 anak-anak yatim yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan telah dibantu.

    Majlis berkenaan dianjurkan dengan kerjasama bersama Jawatankuasa Takmir Masjid MSSBRPAD dan dihadiri oleh Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Dato Seri Major General (R) Haji Mohamad Jaafar bin Haji Abdul Aziz selaku tetamu kehormat.

    Hadir sama adalah penasihat Jawatankuasa Takmir MSSBRPAD, Dato Paduka Haji Idris Bin Haji Abas.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara berjemaah yang dipimpin oleh Awang Muhammad Khaizuran Amali Bin Haji Kamsani yang turut membacakan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan.

    Penyampaian sumbangan berkenaan disempurnakan oleh tetamu kehormat bersama Dato Paduka Haji Idris dan Pengurus Kumpulan Samima, Haji Hidhayatullah bin Haji Tajudeen.

    Majlis diakhiri dengan Doa Selamat dan acara berbuka puasa bersama penerima dan ahli keluarga mereka yang turut disumbangkan oleh Samima Sdn Bhd dan diikuti dengan solat Maghrib berjemaah.

    Antara yang menerima sumbangan berkenaan.
    Gambar ramai semasa majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda