Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Dengan hasrat untuk meringankan bebanan golongan keluarga yang kurang berkemampuan di negara ini, Samima Sdn Bhd telah menghulurkan sumbangan peralatan sekolah dan buku teks kepada tiga buah keluarga untuk keperluan sesi persekolahan tahun hadapan.
Penyampaian sumbangan berkenaan telah diadakan di Kedai Samima cawangan Bebatik Kilanas, pagi tadi dan disempurnakan oleh Pengarah Urusan Samima Sdn Bhd, Haji Hidayatullah bin Haji Tejuddin kepada lima orang pelajar dari tiga buah keluarga berkenaan dari Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lambak Kiri, Daerah Brunei dan Muara; Kampung Perpindahan Rataie, Daerah Temburong dan juga Daerah Tutong.
Mereka yang menerima sumbangan tersebut ialah Awang Muhammad Syahmi Fathul Iqbal bin Faidzal (Tahun 8), Awang Muhammad Aqmar Raziq bin Faidzal (Tahun 7), Dayang Nabiatul-Ain binti Noormasaidirwan (Tahun 8), Dayang Nur Farah Najla binti Noormasaidirwan (Tahun 4) dan Dayang Siti Ameena binti Karim.
Tujuan utama sumbangan itu adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik khususnya dari segi perbelanjaan keperluan sekolah di negara ini.
Syarikat berkenaan kini telah memiliki lima buah cawangan di negara ini yang mana, cawangan Bebatik Kilanas merupakan yang baru ditubuhkan pada tahun ini.
