Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Sebagai tanggungjawab sosial korporatnya, Syarikat Samima Sdn Bhd telah menyumbangkan pelbagai barangan perubatan dan alat tulis kepada beberapa buah organisasi iaitu Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik (BKN).
Syarikat berkenaan telah menyumbangkan 2,000 keping pelitup muka, 100 pelindung muka, 180 biskut pelbagai jenis dan 480 cawan pakai buang kepada PBSM yang diterima oleh naib presiden persatuan berkenaan di Pusat Penggunaan dan Logistik Risiko BRC COVID-19 pada 27 September, lalu.
Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Pengarah Urusan Samima, Haji Hidhayathulla bin Haji Tajudeen.
Sementara itu, Pusat Al-Islah, BKN turut menerima 2,000 pelitup muka, 100 pelindung muka, 180 biskut pelbagai jenis, 480 cawan pakai buang dan 50 PPE (Jupiter suite coverall) yang disampaikan hari ini.
Semasa dihubungi, Haji Hidhayathulla berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam membasmi wabak COVID-19 di negara ini.
