Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Pembuangan sampah merata-rata semakin menjadi-jadi sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk di kawasan perumahan Kampung Katok B, Jalan Nenas Paun.
Salah seorang penduduk yang mengadu kepada pihak Media Permata berharap agar perkara berkenaan tidak berlarutan dan memohon agar semua pihak bekerjasama dalam menjaga dan melestarikan keindahan serta kebersihan di kawasan tersebut khususnya dan Negara Brunei Darussalam secara amnya.
Masalah berkenaan bukan sahaja membuatkan penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan berasa kurang senang, malah ia juga akan memberi gambaran negatif kepada para pelancong yang datang berkunjung ke negara ini apabila mereka melihatnya.
Oleh itu, dengan mengambil langkah bersama mengubah sikap untuk sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, perkara seperti ini dapat dibendung tanpa perlu menuding jari kepada mana-mana pihak untuk mengendalikannya kerana kebersihan alam sekitar tanggungjawab bersama.
