Oleh Salawati Haji Yahya
BELAIT, 27 DIS – Sebuah syarikat telah dikenakan denda kompaun $500 oleh Jabatan Daerah Belait semasa operasi pemantauan yang dijalankan oleh unit penguatkusaan jabatan tersebut baru-baru ini.
Menurut kenyataan jabatan berkenaan, kompaun dikeluarkan atas ke-salahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, 2021 (Penggal 30), Bab 12 (1) (d) iaitu menggugurkan, menumpahkan atau menghamburkan sebarang habuk, pasir, tanah liat, tanah gambur, batu kerikil, rumput, jerambi, tatal, habuk kayu, abu, kotoran kebun, kotoran bangsal, kotoran perniagaan, baja, sampah atau apa jua barang dan bahan lain tempat awam, sama ada dari sesebuah kenderaan yang bergerak atau tidak atau dalam apa jua cara lain.
Syarikat terbabit diberikan tempoh satu minggu untuk menjelaskan denda kompaun berkenaan dan jika gagal menjelaskan pembayaran boleh didakwa di mahkamah.
Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait mengingatkan bahawa bagi kesalahan-kesalahan berkaitan dengan pembuangan sampah di tempat awam, mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah bab itu dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama.
Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Badan-badan korporat yang melakukan kesalahan pertama di bawah bab itu pula boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Kenyataan menyatakan, operasi pemantauan harian berkenaan antara lain bertujuan bagi memastikan kebersihan persekitaran agar lebih terjaga dan mana-mana individu atau syarikat yang melakukan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang telah disediakan.
Unit berkenaan turut mengingatkan mana-mana individu ataupun badan-badan korporat supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini bagi sama-sama menjaga kebersihan kawasan dan alam sekitar dengan membuang bahan-bahan buangan di kawasan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Sebarang aduan bolehlah menghubungi talian 3334335 sambungan 1404 atau 1153 (Unit Penguatkuasaan).


