Thursday, July 17, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sampah kitar semula bantu cipta gambar bermakna

    RAMAI orang tidak hirau mengenai jumlah sampah yang telah mereka hasilkan kerana kata-kata dan angka tidak memberikan impak yang besar pada mereka. Namun, imej memainkan peranan yang sebaliknya. Oleh itu seorang penggiat seni Perancis memutuskan untuk menunjukkan berapa banyak sampah yang mampu dihasilkan oleh seorang individu. Dalam melakukan perkara itu, dia telah berhenti membuang sampah yang dapat dikitar semula selama empat tahun.

    Antoine Repessé menyimpan sisa kitar semula di stornya sejak dia berhenti membuangnya seperti botol plastik, tiub kertas tandas atau surat khabar sejak tahun 2011.

    Pada mulanya, perbuatan tersebut tidak menimbulkan isu yang besar namun setelah masa berlalu, sisa tersebut mula menutupi lantai rumahnya dan tidak lama kemudian memenuhi setiap ruangan kosong yang ada. Kediaman Antoine Repessé kelihatan seperti seorang pengumpul yang keterlaluan setelah empat tahun menyimpan sisa kitar semulanya.

    Sepanjang tempoh empat tahun tersebut, Antoine telah mengumpul 1,600 botol susu, 4,800 tiub kertas tandas dan 800 kilogram surat khabar yang kemudiannya digunakan sebagai alat dalam menciptakan siri gambarnya yang membawa makna yang mendalam mengenai konsumerisme moden dikenali dengan #365 Unpacked.

    “Saya berminat untuk melihat bagaimana sesuatu objek itu kehilangan keistimewaannya apabila digabungkan dalam satu bahagian yang besar. Kita selalu diperingatkan tentang jumlah sisa yang telah kita hasilkan namun saya berpendapat bahawa sebuah gambar itu lebih berkuasa dan berkesan daripada perkataan yang banyak.”

    Antoine Repessé cuba memberi gambaran kepada pengguna-pengguna bahawa betapa pentingnya untuk mengitar semula barangan yang dapat dikitar semula.
    Antoine Repessé berharap keunikan yang terdapat dalam siri gambarnya ini akan dapat memberikan inspirasi kepada semua pengguna.

    Penggiat seni Perancis itu telah menghabiskan banyak masa mengasing-asingkan sisa kitar semulanya ke dalam beberapa kategori bagi mempertingkatkan lagi impak yang akan ditunjukkan melalui gambarnya. Kategori tersebut adalah seperti botol plastik, karton susu dan tiub kertas tandas. “Saya ingin memberikan sebuah dimensi estetik kepada kerja saya,” seperti yang diterangkan olehnya. “Keputusan saya dalam membahagi-bahagikan sisa tersebut telah memberikan kesan grafik. Saya cuba untuk menghasilkan sebuah gambar yang sempurna dalam melahirkan sesuatu yang mengganggu.”

    Penggiat seni tersebut mengatakan yang dia mendapat ilham bagi projek yang dihasilkan itu setelah menyedari akan betapa banyak sisa yang telah dihasilkannya disebabkan oleh minatnya terhadap makanan beku. Selain daripada itu, dia juga menyedari bagaimana pengguna sepertinya terpaksa membayar lebih untuk produk yang tertentu disebabkan oleh pembungkusannya. “Lihat sahaja pada kopi Nespresso – Ia membuat anda membayar 45 kali ganda daripada harga yang sepatutnya dikenakan,” tambahnya.

    Sementara kebanyakan syarikat telah mengambil langkah penting bagi mengurangkan pembaziran yang tidak perlu. Kunci utama dalam perubahan ini terletak di tangan pengguna itu sendiri dengan mengubah tabiat harian mereka. Dan Antoine Repessé beharap keunikan yang terdapat dalam siri gambarnya itu akan dapat memberikan inspirasi kepada semua pengguna.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda