Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sampah: Masih ada yang alpa

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Bagi membudayakan masyarakat mengenai amalan menjaga kebersihan di sekitar kampung, penduduk di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau, kelmarin, telah mengadakan aktiviti bergotong-royong membersihkan longgokan sampah-sarap di kawasan tersebut.

    Kempen membersihkan sampah yang tertumpu di Simpang 75, Jalan Sungai Carana dan di hujung jalan Simpang 55, Jalan Tanjung Kudus telah dikendalikan oleh majlis perundingan kampung (MPK) berkenaan yang turut melibatkan penyertaan daripada ahli Jawatankuasa Kecil Jalan Sungai Carana, warga Simpang 75 dan warga Jalan Tanjung Kudus.

    Timbalan Pengerusi MPK RPN Kampung Panchor Mengkubau, Haji Hairul Azri bin Haji Salamat ketika ditemu bual semasa kempen berkenaan telah melahirkan rasa kesal kerana masih ada lagi mereka yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan yang tidak berpenghuni.

    “Kebanyakan sampah yang dibuang dan ditinggalkan di rumah yang kosong itu adalah bekas kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian rumah.

    “Dalam perkara ini, adalah diharapkan agar pihak berkenaan dapat memantau dan menasihati para pekerja kontraktor yang ada di RPN Panchor, Mengkubau,” tegasnya.

    Kerja gotong-royong membersihkan kawasan yang dijadikan tempat pembuangan sampah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
    Kerja gotong-royong membersihkan kawasan yang dijadikan tempat pembuangan sampah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

    Beliau seterusnya menyeru kepada mereka yang tidak bertanggungjawab itu untuk tidak membuang sampah di merata-rata tempat terutama di kawasan riadah dan rumah-rumah yang belum dihuni.

    Bagaimanapun katanya lagi, tempat pembuangan sampah sudah pun disediakan di Kampung Mentiri malah terdapat syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan pembuangan sampah di kawasan berkenaan.

    Beliau juga berharap supaya penduduk kampung akan terus mengikuti kempen seperti ini dari semasa ke semasa terutama dalam aktiviti memotong rumput di tepi jalan raya.

    “Kempen seperti ini menunjukkan betapa pentingnya bagi kita sama-sama menjaga kebersihan seterusnya akan dapat membudayakan amalan menjaga kebersihan dan sikap pembersih setiap masa, di samping menjadikan kawasan itu lebih bersih, indah, ceria dan bebas daripada menjadi sarang pembiakan nyamuk yang membawa penyakit,” tambahnya.

    Sementara itu, salah seorang ahli Jawatankuasa Kecil Jalan Sungai Carana menjelaskan akan pentingnya kerja bergotong-royong membersihkan kawasan kampung tanpa menunggu bantuan daripada pihak agensi kerajaan.

    Menurutnya, ia adalah tanggungjawab bersama bagi setiap penduduk kampung selain sebagai platform dalam menanamkan sifat kesedaran akan pentingnya kebersihan.

    “Mereka harus dan wajib menyedari bahawa kebersihan boleh membantu menggelakkan jangkitan penyakit selain memberi keselesaan dan keindahan pemandangan persekitaran,” ujarnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda