PARIS, 7 APRIL – Menurut daripada 14 kajian saintifik pada hari ini, mendapati kesemua sungai utama di Eropah mengandungi tahap pencemaran mikroplastik yang membimbangkan.
“Pencemaran ini wujud di semua sungai Eropah yang dikaji,” kata saintis Perancis, Jean-François Ghiglione, yang mengetuai operasi berskala besar melibatkan sembilan sungai utama termasuk Sungai Thames di United Kingdom hingga Sungai Tiber di Itali.
Menurut hasil kajian yang disiarkan dalam jurnal Environmental Science and Pollution Research, setiap meter padu air mengandungi purata tiga zarah mikroplastik.
Walaupun jumlah ini jauh lebih rendah berbanding 40 mikroplastik per meter berbanding dengan 10 sungai paling tercemar di dunia seperti Sungai Kuning, Yangtze, Mekong, Ganges, Nil, Niger, Indus, Amur, Pearl dan Hai. Jumlah sebenar pencemaran itu turut dipengaruhi oleh isipadu aliran air.
Sebagai contoh, di Sungai Rhone di Valence, Perancis, kadar aliran tinggi menyumbang kepada kira-kira 3,000 zarah plastik setiap saat, manakala Sungai Seine di Paris mencatatkan sekitar 900 zarah sesaat, jelas Ghiglione.

Beliau turut memaklumkan mikroplastik yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar sebenarnya lebih banyak daripada yang kelihatan di permukaan air, satu penemuan yang ‘mengejutkan’ para penyelidik dan disahkan melalui kemajuan analisis sejak kajian bermula pada 2019.
“Mikroplastik bersaiz besar terapung dan mudah dikesan di permukaan, tetapi yang halus tersebar di seluruh lapisan air dan sering dimakan oleh pelbagai haiwan serta organisma air,” tambah beliau, yang juga Ketua Penyelidik Ekotoksikologi Mikrob Marin di Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS).
Kajian tersebut melibatkan pengambilan sampel dari muara sembilan sungai utama di Eropah, Elbe, Ebro, Garonne, Loire, Rhone, Rhine, Seine, Thames dan Tiber, kira-kira 40 pakar kimia, biologi dan fizik dari 19 makmal penyelidikan.
Mikroplastik ini bersaiz kurang daripada lima milimeter, dan sebahagiannya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Ia merangkumi gentian tekstil sintetik yang terhasil daripada cucian pakaian, serta mikroplastik yang dilepaskan daripada tayar kenderaan atau penutup botol plastik. – AFP