Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 Ogos – Akibat meninggalkan sampah di tempat awam, sebuah restoran di kawasan bangunan komersial di sini, hari ini, telah dikenakan denda kompaun oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.
Jabatan tersebut dalam menguatkuasakan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 Pindaan 2006, iaitu kesalahan membuang sampah di tempat awam, telah mengenakan kompaun berjumlah $200 ke atas pengusaha restoran terbabit kerana didapati meletakkan dan meninggalkan sampah-sampah yang berupa kotak-kotak, kantung-kantung dan botol-botol plastik di tempat awam.
Bahagian itu telah memberikan tempoh tujuh hari ke atas syarikat terbabit untuk menjelaskan denda kompaun dan jika gagal menjelaskannya, mereka boleh didakwa di mahkamah.
Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga $1,000 bagi kesalahan pertama dan kesalahan seterusnya denda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.
Sehubungan itu, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria terus mengingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya membuang sampah di tempat yang telah dikhaskan bagi menjaga alam sekitar yang bersih dan sihat.