Saya sangat bersyukur selaku rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam kerana menjalani kehidupan dengan sejahtera dan aman.
Kehidupan rakyat di negara ini sangat terjamin apatah lagi dengan keprihatinan pihak kerajaan terhadap keperluan penduduknya yang tanpa henti-henti berusaha untuk memberikan keselesaan kepada warganya.
Namun saya selaku penduduk yang tinggal berdekatan kawasan Kampung Bakut Pengiran Siraja Muda ‘B’ agak sedikit kecewa apabila melihat jambatan di kawasan berkenaan menuju ke Sekolah Rendah PAP Besar mengalami kerosakan dan berkemungkinan akan runtuh bila-bila masa sahaja sedangkan terdapat tiga buah rumah yang masih menggunakan jambatan ini.
Jambatan itu juga dilihat semakin teruk dan jelas ianya boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja walaupun terdapat pembaikan terhadap jambatan tersebut baru-baru ini.
Situasi tersebut membangkitkan keresahan bagi beberapa keluarga yang tinggal berdekatan kerana khuatir terhadap keselamatan mereka. Justeru, sampai bilakah penghuni yang tinggal berdekatan kawasan ini akan terus berdepan dengan situasi ini.
Bilakah pihak tertentu akan dapat bertindak dengan segera kerana keadaan jambatan tersebut kelihatan sangat bahaya dan boleh menyebabkan kecederaan. Oleh itu, dipohonkan kepada pihak yang tertentu untuk meninjau ke kawasan tersebut bagi memastikan ia segera diperbaiki bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. – Penduduk Kampong Ayer
