Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sampaikan ilmu manasik haji dengan jelas

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Guru-guru pengkursus dan pembimbing ibadat haji dan umrah yang dilantik sebagai penyampai adalah berperanan penting dalam menyalurkan ilmu dan maklumat tentang manasik haji kepada bakal jemaah haji hingga menjadikan mereka betul-betul mengetahui dan memahaminya sehingga mereka dapat melaksanakan manasik haji dengan teratur dan sempurna di Tanah Suci nanti.

    Justeru itu, semua guru pengkursus ibadat haji disarankan mengambil perhatian beberapa perkara yang perlu disampaikan dan disediakan sewaktu kursus nanti.

    Antaranya menekankan penghayatan sewaktu berada di bumi ‘Arafah dan Mina dengan memberikan maklumat keadaan sebenar dan terkini bumi ‘Arafah dan Mina terutama bagi jemaah yang baru pertama kali menunaikan fardu haji.

    Selain itu, memberikan maklumat dan perbandingan mengenai kemudahan penginapan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak-pihak berkenaan di ‘Arafah dan Mina
    dengan kemudahan yang ada di Mekah dan Madinah.

    Saranan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Sijil dan Resolusi Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji dan Umrah Tahun 1445H/2024M yang berlangsung di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.

    Haji Mohammad Rosli semasa menyampaikan ucapan pada majlis penyampaian sijil berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH : Haji Mohammad Rosli menyampaikan sijil kepada para peserta Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji dan Umrah Tahun 1445H / 2024M yang berlangsung di Dewan Multaqa, KHEU, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH : Antara yang menyertai Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji dan Umrah Tahun 1445H / 2024M, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Beliau melahirkan keyakinan dan berharap semua peserta yang mengikuti muzakarah tersebut akan dapat manfaatkan ilmu yang diperolehi sebagai tambahan dan memantapkan lagi kefahaman ilmu ibadat haji dan umrah yang sedia ada, mengongsikan ilmu dan menyampaikan maklumat kepada pelajar-pelajar, bakal jemaah haji dan orang awam sesuai dengan peranan masing-masing.

    Di samping itu, para peserta juga diperlukan untuk menjadi pelapis guru-guru pengkursus ibadat haji dan umrah pada masa akan datang.

    Pengkrusus yang dilantik juga diharap dapat menjelaskan de-ngan sejelasnya kepada bakal jemaah haji bahawa pekerjaan ibadat haji itu adalah susah dilaksanakan kerana ia memerlukan pengorbanan, ketahanan mental dan fizikal yang kuat, rohani yang mantap serta mempunyai sifat sabar dan akan sentiasa bersedia mengha-dapi dan mengharungi cabaran apabila timbul masalah yang tidak dijangkakan.

    Pada majlis itu, Haji Mohammad Rosli menyampaikan sijil kepada seramai 122 orang peserta yang mengikuti muzakarah berkenaan pada sebelah pagi.

    Para peserta terdiri daripada tenaga pengkursus ibadat haji dan umrah dan penyelia-penyelia kursus yang dilantik, guru-guru sekolah agama dan sekolah menengah, pembimbing-pembimbing saudara baharu Pusat Dakwah Islamiah (PDI), para pegawai masjid serta pembimbing haji dan umrah daripada syarikat-syarikat pengendali pakej haji dan umrah.

    Muzakarah bertujuan untuk menyelaras hukum-hakam berkaitan haji, umrah dan ziarah dalam kala-ngan guru-guru pengkursus selain untuk menyebar luas, menambah dan memantapkan ilmu-ilmu

    manasik haji bagi tenaga-tenaga pengajar, pembimbing saudara baharu, imam masjid serta pembimbing syarikat pakej haji dan umrah.

    Di samping pembentangan kertas kerja, taklimat pengurusan haji juga disampaikan bagi memberikan penerangan mengenai Haji Negara Brunei Darussalam dan gambaran serta situasi sebenar dan terkini di Tanah Suci terutama di Padang ‘Arafah dan Mina.

    Antara yang diterangkan seperti tentang perkhidmatan, pengurusan dan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak-pihak berkenaan di Arab Saudi dan juga syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan haji dan umrah serta apa jua dasar peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

    Kertas kerja perdana berkenaan bertajuk Haji: Mendidik Jiwa, Meraih Syurga telah disampaikan oleh Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Beliau memilih tajuk berkenaan berdasarkan kepada situasi yang biasa dilihat ketika mengerjakan haji atau umrah.

    Dalam pembentangannya, beliau membahaskan bahawa pemahaman terhadap kawalan diri dengan cara memahami haji adalah madrasah yang khusus untuk mendidik jiwa, jiwa manusia sering bergelora dan tidak tetap.

    Turut hadir pada majlis penyampaian sijil berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda