Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), malam tadi, telah menjalankan operasi sekatan jalan raya dengan konsep Stop & Search dan Stop & Talk bagi tujuan menyampaikan maklumat dan nasihat kepada orang awam untuk sentiasa berada di rumah masing-masing.
Semasa operasi kawasan Jalan Penghubung Tanah Jambu itu, pihak polis juga menasihatkan orang awam untuk tidak mengadakan perkumpulan ramai dan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial semasa wabak COVID-19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PDB, tidak ada kesalahan jenayah mahu pun kesalahan di bawah Akta Lalu Lintas didapati dalam operasi yang bermula pukul 10 malam berkenaan.
Operasi telah melibatkan seramai 19 orang anggota Balai Polis Berakas yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, Penolong Penguasa Polis (P/ASP) Muhammad Alif bin Haji Musa.
Kenyataan menekankan, PDB akan sentiasa berterusan menjalankan operasi seumpamanya bagi memastikan pelanggaran undang-undang di negara sentiasa ditangani di samping berusaha untuk mengurangkan kadar kemalangan lalu lintas dan juga menghindari kejadian jenayah.
