Sampaikan ucapan dari dasar laut

DESROCHES ISLAND, Seychelles, 14 April – Dalam ucapan menarik yang disiarkan secara langsung dari dasar laut, presiden Seychelles hari ini merayu kepada masyarakat global agar melindungi ‘jantung planet kita’ dengan baik.

Gesaan Presiden Danny Faure dalam ucapan secara langsung yang pertama dari bawah permukaan laut, datang dari salah sebuah negara pulau yang diancam oleh pemanasan global.

“Lautan menutupi dua pertiga daripada permukaan dunia tetapi sebahagian besar masih belum dipetakan. Kita mempunyai lebih banyak peta Marikh berbanding apa yang kita lakukan di dasar lautan,” kata Faure semasa menyertai ekspedisi sains British menjelajah Lautan Hindi.

“Isu ini lebih besar daripada kita semua dan kita tidak boleh menunggu generasi akan datang untuk menyelesaikannya. Kita tidak dapat berdalih lagi kerana kesuntukan masa,” kata presiden itu berucap dari kapal Ocean Zephyr dari kedalaman 400 kaki di bawah permukaan laut di luar pantai negara itu.

Faure yang memakai baju-T dan seluar pendek Seychelles memberitahu The Associated Press selepas ucapannya bahawa pengalaman itu begitu menarik dan menjadikan beliau lebih bertekad untuk bercakap mengenai perlindungan marin. – AP

Gambar yang diambil daripada rakaman video menunjukkan Presiden Danny Faure menyampaikan ucapan dari dasar laut kelmarin. – AP