Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sampainya hati

    Oleh Yusrin Junaidi & Pg Fairol RMF

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Jeritan nyaring “anak damit!,” seorang wanita dalam tandas di sebuah gerai di Rimba, telah menyelamatkan nyawa si kecil yang ditemui dalam mangkuk tandas di kawasan itu.

    Seorang lelaki penjaja tempatan di gerai tersebut yang terdengar jeritan itu, bergegas ke tempat kejadian dan mengeluarkan anak damit yang kepalanya terbenam di dalam mangkuk tandas.

    Anak damit lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk pemeriksaan kesihatan.

    Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dari Balai Polis Berakas mengesahkan menerima laporan dari talian kecemasan mengenai penemuan anak damit lelaki dan terus menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

    PDB juga memohon orang ramai atau saksi di tempat kejadian tampil menyalurkan maklumat ke Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah di talian kecemasan 993 atau 2459500 sambungan 496/333. Dalam pada itu, Media Permata sempat menemu bual penjaja tempatan yang menyelamatkan anak damit itu, Awang Zaharuddin bin Haji Durahim.

    Tandas di kawasan sebuah gerai di Rimba tempat anak damit ditemui.

    Awang Zaharuddin, 42, menceritakan semasa tiba awal pagi di sana, beliau terdengar bunyi pergerakan di dalam tandas perempuan dan menyangka ia hanya pergerakan biasa pengguna tandas serta tidak menghiraukannya.

    Namun apabila seorang daripada penjaja menggunakan tandas itu menjerit ‘anak damit!,’ beliau tidak berfikir panjang dan terus berkejar ke tandas perempuan itu.

    “Di dalam tandas, saya mendapati kepala anak damit sudah berada di dalam mangkuk tandas dengan kakinya tertunggang ke atas, manakala tali pusat anak damit itu masih lagi bercantum di perutnya.

    “Saya sebagai seorang ayah yang sudah pun mempunyai lapan cahaya mata, tidak ingin perkara buruk terjadi kepada anak damit ini, terus mengangkatnya kerana khuatir anak damit ini lemas dan menepuk-nepuk belakangnya sehingga dia mengeluarkan suara bagi memastikan dia selamat,” tambahnya.

    “Anak damit itu saya balut dan peluk agar dia tidak kesejukan sambil berdoa ketika menunggu pihak kecemasan datang,” katanya. Beliau turut melahirkan harapan agar dapat mengasuh anak itu jika pihak berkuasa memberi kebenaran.

    Beberapa rakaman video dan gambar anak damit terselamat itu turut tular di media sosial.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda