Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sempena Sambutan Jubli Intan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Jabatan Perkhidmatan Pos Negara Brunei Darussalam akan mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Kenang-kenangan Jubli Intan ABDB ke-60.
Sehubungan itu orang ramai yang berminat boleh mendapatkan setem kenang-kenangan berkenaan bermula esok (31 Mei). Keluaran setem kali ini memaparkan beberapa perkembangan sejak tertubuhnya ABDB.
Selain itu, jabatan berkenaan turut mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama, enam keping setem dan Lembaran Mini yang mana produk-produk berkenaan mula dijual esok dalam jumlah adalah terhad.
Produk bagi satu setem serangkai Nombor Bersiri – 60 sen x enam setem, dicetak sebanyak 3,500 set manakala satu Set Setem pula berharga 60 sen x enam setem dan Lembaran Mini Khas dengan nombor Bersiri dicetak sebanyak 200 keping.
Manakala bagi sampul Surat Rasmi Hari Pertama Tanpa Setem hanya 3,000 keping dicetak dan sampul Surat Rasmi Hari Pertama Bersetem juga dicetak dalam jumlah 3,000.
Setem-setem berkenaan boleh didapati di cawangan pos Setem Galeri, Bandar Seri Begawan dan Pusat Memproses Mel Berakas (MPC).
Setem berkenaan juga boleh dibeli di Pejabat Pos Muara, Pejabat Pos Sengkurong, Pejabat Pos Mumong, Kuala Belait, Pejabat Pos Seria, Pejabat Pos Tutong, Pejabat Pos Bangar.
Untuk keterangan lanjut bolehlah terus menghubungi Unit Pemasaran dan Filateli atau e-mel ke brustamp@post.gov.bn