Oleh Daniel Lim
BELAIT, 1 SEPT – Samsul Zamri dan Helen Waters muncul johan dalam kategori masing-masing pada Larian Keluyoh 828 anjuran AQRace Timing System, yang berlangsung di Kampung Keluyoh, Sungai Liang sejak malam kelmarin.
Perlumbaan ketahanan selama 12 jam itu menyaksikan Samsul Zamri berjaya melengkapkan 56 pusingan, diikuti oleh Hassan dan Nor Alidullah bin Haji Kasban masing-masing di tempat kedua dan ketiga bagi Kategori Lelaki.
Sementara itu Helen Waters melengkapkan 54 pusingan dalam Kategori Wanita, diikuti oleh Marnie dengan 53 pusingan dan Joana Hudson, 52 pusingan. Hadir bagi menyempurnakan hadiah kepada para pemenang dalam Kategori Lelaki ialah Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Mohd Ibrahim bin Datu Maharaja Setia Dian.
Hadiah bagi pemenang Kategori Wanita pula disampaikan oleh Dayang Zainab binti Abdullah, yang mana beliau juga menerima penghargaan atas kesudian beliau membenarkan kawasan luar rumahnya digunakan bagi perlumbaan itu.
Perlumbaan tersebut berjaya menarik sejumlah besar peserta, di mana kira-kira 122 pelari telah mendaftar diri mereka bagi mengharungi laluan berbukit dan keputusan perlumbaan dilihat pada jumlah pusingan yang dilakukan oleh para peserta dalam tempoh 12 jam itu.