SEOUL, 20 MAC – Samsung Electronics Co akan memperkenalkan peralatan rumah pintar terbaharu yang dipacu kecerdasan buatan (AI) serta berkongsi visi mengenai kehidupan pintar dalam satu acara khas minggu hadapan, lapor Yonhap memetik sumber industri.
Acara bertemakan ‘Welcome to Bespoke AI’, yang dijadualkan berlangsung pada 26 Mac akan menampilkan Home AI, sebuah ekosistem canggih yang menggabungkan teknologi AI dengan keupayaan sambungan yang dipertingkatkan bagi menawarkan pengalaman rumah pintar yang lebih lancar dan intuitif.
Samsung juga akan mempamerkan rangkaian produk Bespoke AI, iaitu peralatan rumah yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna, khususnya di pasaran Korea Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Han Jong Hee dijangka menyampaikan ucaptama yang menggariskan inovasi terkini syarikat itu.
“Kami akan memperkenalkan produk baharu seperti peti sejuk, mesin basuh, penyaman udara, dapur serta pembersih vakum dalam acara minggu hadapan.
“Matlamat kami adalah untuk memperkukuh kedudukan Samsung dalam industri melalui produk inovatif seperti Bespoke AI Washer Dryer Combo,” kata Han dalam mesyuarat pemegang saham baru-baru ini.
Samsung turut melancarkan video prapelancaran di laman berita rasminya, memberikan gambaran awal mengenai produk Bespoke AI dan integrasi SmartThings, yang direka untuk menawarkan pengalaman rumah yang lebih peribadi dan dipacu AI. – Bernama/Yonhap
