Samsung buka kilang cip AS$17 bilion di Texas

SAN FRANCISCO, 24 NOV – Samsung semalam berkata ia akan membina kilang mikrocip di Texas, pelaburan bernilai AS$17 bilion bagi mengatasi masalah kekurangan semikonduktor yang menyebabkan kelambatan dalam rantaian bekalan di kebanyakan industri.

Keputusan tersebut disambut baik oleh Gabenor Texas, Greg Abbott, yang menggelar rancangan tersebut “pelaburan langsung terbesar dari negara luar di Texas.”

Kilang baharu tersebut, yang bakal beroperasi pada penghujung 2024, dijangka akan mencipta lebih 2,000 pekerjaan berkemahiran dan ‘memberikan lembaran baharu dalam masa depan syarikat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Kinam Kim.

Cip yang dihasilkan akan mempunyai aplikasi dalam teknologi mudah alih, 5G atau kepintaran buatan, menurut kumpulan tersebut. Kilang akan dibina di bandar Taylor, berhampiran Austin.

Berita tersebut dialu-alukan oleh pentadbiran Presiden Joe Biden, yang mana penasihat ekonomi dan keselamatan, Brian Deese dan Jake Sullivan berkata dalam kenyataan bahawa kilang tersebut akan “membantu melindungi rantaian bekalan kami, menghidupkan semula pengekalan pembuatan dan mencipta peluang pekerjaan di negara ini.”

Samsung, pembuat memori cip terbesar dunia, sedang giat meningkatkan pelaburannya dalam perniagaan semikonduktor ketika dunia bergelut dengan kekurangan cip yang menjejaskan segalanya dari kenderaan, peralatan rumah hingga ke telefon pintar dan konsol permainan.

Samsung mengikut jejak pesaingnya TSMC dari Taiwan dan Intel dari Amerika Syarikat (AS) untuk melebarkan kapasiti pembuatan cip di AS, yang menyaksikan persaingan strategik dengan China. TSMC dan Intel membangunkan kilang masing-masing di Arizona.

Kedua-dua penasihat presiden menekankan bahawa pengumuman semalam adalah sebahagian besar daripada keputusan yang dibincangkan antara kedua-dua pemimpin negara tersebut.

Samsung, yang beroperasi di AS selama 25 tahun, memfailkan dokumen projek bersama Texas pada Januari lalu. – AFP

Logo syarikat Samsung Electronics di Seoul. Samsung mengumumkan akan membuka sebuah kilang pembuatan cip di Amerika Syarikat yang akan mula beroperasi penghujung 2024. – AP