Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Samsung Electronics catat pertumbuhan paling pesat

    SEOUL, 31 JULAI – Samsung Electronics hari ini melaporkan pertumbuhan paling pesat sejak 2010, dengan keuntungan operasi melonjak untuk suku kedua, berikutan kenaikan harga semikonduktor dan permintaan untuk kecerdasan buatan (AI) generatif yang terus berkembang.

    Pembuat cip memori terbesar di dunia itu mencatatkan keuntungan operasi sebanyak 10.44 trilion won (AS$7.5 bilion) ‘apabila keadaan pasaran memori yang menggalakkan mendorong harga jualan purata yang lebih tinggi’ bagi tempoh April hingga Jun, katanya dalam satu kenyataan.

    Ia menambah ‘jualan kukuh panel OLED,’ yang digunakan dalam pengeluaran paparan digital, turut menyumbang.

    Angka itu meningkat 1,462.29 peratus daripada 670 bilion won bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya, melebihi jangkaan pasaran.

    Jualan meningkat 23.4 peratus kepada 74 trilion won, kata Samsung.

    Seorang wanita berjalan melepasi lori yang memaparkan poster untuk televisyen Samsung Neo QLED 8K di luar bangunan Seocho di Seoul pada 31 Julai. – AFP

    Firma itu adalah anak syarikat utama gergasi Korea Selatan, Samsung Group, setakat ini yang terbesar oleh konglomerat dikawal oleh keluarga yang mendominasi perniagaan dalam ekonomi keempat terbesar di Asia itu.

    Semikonduktor adalah nadi kepada ekonomi global, digunakan dalam segala-galanya daripada peralatan dapur dan telefon bimbit hingga kereta dan senjata.

    Permintaan untuk semikonduktor yang menggunakan sistem AI telah meningkat disebabkan kejayaan ChatGPT dan produk AI generatif yang lain.

    Samsung adalah salah satu syarikat di seluruh dunia yang mengeluarkan cip memori jalur lebar tinggi (HBM) premium yang direka khas untuk pemproses AI.

    Kim Jae-jun, Naib Presiden Eksekutif bahagian memori, memberitahu pemberita jualan HBM meningkat 50 peratus pada suku kedua berbanding tiga bulan sebelumnya dan syarikat itu sedang menambah kapasiti pengeluaran.

    “Kami telah memperoleh hampir empat kali ganda jumlah permintaan pelanggan berbanding tahun sebelumnya,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda