SEOUL, Korea Selatan, 31 Okt – Samsung Electronics Co melaporkan satu lagi rekod memberangsangkan dalam pendapatan suku hari ini disebabkan keadaan melambung dalam industri cip memori dan meramalkan satu lagi suku yang memberangsangkan, kejayaan menakjubkan untuk sebuah syarikat yang bergelut untuk mengeluarkan pemimpinnya daripada penjara.
Syarikat itu juga mengumumkan barisan kepimpinan baru dan pelan pelaburan modal yang besar. Syarikat menunjukkan pilihannya untuk kestabilan dan bukannya usaha membaikpulih besar dengan menamakan tiga orang dalam untuk mengganti tiga ketua eksekutif yang bersara.
Pertambahan lalu lintas data peranti dan komputer awan membantu Samsung, pengeluar telefon pintar terbesar di dunia, bertahan dengan pendapatannya yang memecah rekod walaupun ketika ketua de facto dan naib pengerusinya, Lee Jae-yong, dijatuhi hukuman penjara lima tahun setelah disabit bersalah menerima rasuah.
Perbicaraan sedang berlangsung di mahkamah rayuan tatkala Lee, cucu pengasas Samsung, mencabar sabitan kerana menawar rasuah kepada Presiden Park Geun-hye dan seorang kawan karib, didakwa memastikan peralihan kepimpinan korporat yang lancar di Samsung.
Untuk sekarang, Samsung sedang mengaut hasil daripada pelaburan besar dalam tempoh satu dekad lalu ketika era bapa Lee apabila industri cip memori mudah terdedah kepada ketidakstabilan dalam permintaan global untuk produk elektronik pengguna. Pendapatan bersih Julai-September syarikat Korea Selatan itu meningkat 150 peratus kepada 11 trilion won, berbanding dengan 4.4 trilion won setahun sebelumnya. Jualan meningkat 30 peratus kepada 62 trilion won sementara keuntungan operasi bertambah hampir tiga kali ganda daripada tahun sebelumnya kepada 14.5 trilion won, sejajar dengan previu mereka. – AP