Thursday, September 28, 2023
25.9 C
Brunei

    -

    Samsung Elektronik ramal lonjakan keuntungan 52.5% dalam suku ke-4

    SEOUL, 7 JAN – Samsung Elektronik menjangkakan keuntungan operasi pada suku keempat melonjak 52.5 peratus, kata syarikat gergasi teknologi Korea Selatan itu dalam satu kenyataan hari ini, dirangsang oleh jualan rekod.

    Penghasil telefon pintar terbesar dunia itu meramalkan keuntungan operasi suku keempat 2021 pada sekitar AS$11.5 bilion, meningkat daripada AS$7.5 bilion pada suku yang sama tahun lalu.

    Firma itu dirangsang oleh rekod jualan pada suku tersebut, dianggarkan 76 trilion won, meningkat 23.5 peratus pada tahun ini, menurut kenyataan itu, yang menambah bahawa ramalan itu mencerminkan pembayaran bonus sekali sahaja kepada pekerja.

    Seorang jurucakap memberitahu AFP jualan tahunan pada 2021 juga dijangka menjadi jualan tertinggi.

    Anggaran keuntungan operasi adalah di bawah anggaran penganalisis sebanyak 15.2 trilion won, menurut Bloomberg News.

    “Pertumbuhan harga berterusan dalam cip memori yang berjalan tiga suku berturut-turut sehingga Oktober tahun lepas telah meningkatkan margin keuntungan Samsung,” kata Park Sung-soon, penganalisis di Cape Investment & Securities.

    “Sumber pendapatan paling penting untuk Samsung terletak pada perniagaan cip memori.”
    Samsung Elektronik tidak memberikan butiran hari ini mengenai prestasi pelbagai bahagiannya. Firma itu dijangka mengeluarkan keputusan penuhnya pada 27 Januari.

    Penganalisis dan pelabur juga memantau kesan sekatan perjalanan COVID-19 di seluruh bandar di Xi’an, China, yang merupakan pangkalan kilang semikonduktor Samsung.

    Samsung berkata minggu lalu bahawa ia perlu ‘melaraskan operasi sementara’ di kemudahan Xi’an, tanpa memperincikan bagaimana ia akan memberi kesan kepada pengeluaran. – AFP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kim gesa pengeluaran senjata nuklear lebih besar

    PYONGYANG, 28 SEPT - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menggesa peningkatan eksponen dalam pengeluaran senjata nuklear dan agar negaranya memainkan peranan yang lebih...