SEOUL, 8 JULAI – Samsung Electronics hari ini menjangkakan keuntungan operasi bagi suku kedua tahun ini akan merosot sebanyak 56 peratus, dengan menyalahkan kawalan eksport cip kecerdasan buatan (AI) oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas China sebagai puncanya.
Syarikat tersebut merupakan anak syarikat utama kepada Samsung Group, konglomerat terbesar di Korea Selatan yang dikuasai keluarga dan merupakan antara pemain utama dalam ekonomi keempat terbesar Asia.
Dalam pemfailan kepada pihak berkuasa kawal selia, gergasi teknologi itu menyatakan bahawa keuntungan operasi bagi tempoh April hingga Julai dijangka menyusut kepada AS$3.3 bilion – penurunan sebanyak 55.94 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan 31 peratus berbanding suku sebelumnya.
Menurut agensi berita Yonhap yang memetik firma data kewangannya sendiri, angka tersebut adalah 23.4 peratus lebih rendah berbanding anggaran purata pasaran.
Jualan keseluruhan pula dianggarkan berjumlah 74 trilion won, menyusut 0.09 peratus berbanding setahun lalu dan 6.5 peratus berbanding suku sebelumnya. – AFP
