Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Samsung komited labur AS$356 bilion

    SEOUL, 24 MEI – Kumpulan Samsung hari ini melancarkan pelan pelaburan bernilai 450 trilion won (AS$356 bilion) untuk tempoh lima tahun akan datang dengan tujuan untuk menerajui dan menjadi pelopor dalam pelbagai sektor.

    Angka baharu itu menunjukkan peningkatan lebih satu pertiga daripada pelaburan yang diperuntukkan dalam masa lima tahun lalu.

    Syarikat gergasi teknologi itu adalah konglomerat terbesar Korea Selatan dan kadar pusing ganti keseluruhannya adalah bersamaan dengan satu perlima daripada keluaran dalam negara kasar.

    Samsung Electronics, subsidiari utama kumpulan itu, adalah pengeluar telefon pintar terbesar di dunia.

    Pelan pelaburan itu akan membawa ‘pertumbuhan jangka panjang dalam perniagaan strategik dan membantu memperkukuhkan ekosistem teknologi industri global,” kata Samsung dalam satu kenyataan.

    Sebanyak 80,000 pekerjaan baharu akan diwujudkan ‘dalam perniagaan teras termasuk semikonduktor dan biofarmaseutikal’ sehingga tahun 2026.

    Ia juga berkata pelaburan akan ‘mencepatkan pengeluaran cip secara besar-besaran dengan menggunakan proses 3-nanometer,’ teknologi terbaharu untuk mengecilkan saiz semikonduktor dan menambah kuasa pengkomputeran.

    Selain itu, ia juga akan melabur dalam sektor biofarmaseutikal bersama Samsung Biologics dan Samsung Bioepis.

    Daripada 450 trilion won yang dirancang dibelanjakan oleh Samsung dalam tempoh lima tahun akan datang, ia akan memperuntukkan 360 trilion won kepada Korea Selatan.

    Pengumuman itu keluar selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengunjungi kilang semikonduktor Samsung Electronics di Pyeongtaek pada Jumaat, yang menekankan peranan besar Korea Selatan untuk menjamin rantaian bekalan mikrocip global. – AFP

    Presiden Joe Biden mengunjungi kilang Samsung Electronics bersama Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol (tengah) dan Naib Pengerusi Samsung Lee Jae-yong (dua kanan) di Pyeongtaek pada 20 Mei 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...