SEOUL, 30 Okt – Samsung Electronics Co kelmarin berkata syarikat itu akan mengeluarkan pembersih vakum yang diinspirasikan oleh watak-watak ‘Star Wars’ dengan kerjasama penerbit Lucasfilm Ltd, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Gergasi teknologi Korea Selatan berkata robot baharu dan pembersih vakum tanpa wayar itu dimodelkan daripada watak-watak siri filem yang dicipta oleh George Lucas.
Tag harga bagi pembersih bertemakan Powerbot Darth Vader dan Stromtrooper ialah masing-masing 799,000 won (kira-kira AS$710.18) dan 699,000 won (kira-kira AS$621.33).
Pembersih tanpa wayar PowerGun, yang berbentuk senapang seperti dalam filem itu, akan dijual pada harga 999,000 won.
Jualan rasmi akan bermula pada 6 November, kata Samsung.
Pelancaran itu dibuat menjelang pengeluaran filem terbaharu Lucasfilm, “Star Wars: Last Jedi,” yang dijadualkan pada akhir tahun ini. – Bernama