Friday, October 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Samsung rancang kurangkan pekerja di beberapa operasi di Asia

    SEOUL, 3 OKT – Samsung Electronics kelmarin berkata ia merancang untuk mengurangkan pekerja di beberapa operasinya di Asia, selepas laporan menyatakan bahawa satu dalam 10 jawatan di pasaran yang terjejas mungkin akan dihentikan.

    Pengeluar cip memori terbesar di dunia itu sedang menyelaras jumlah tenaga kerja di Asia Tenggara, Australia dan New Zealand, beritahu seorang jurucakap syarikat kepada AFP, sambil menambah bahawa ‘penyelarasan tersebut termasuk pengurangan pekerja.’

    ‘Penyelarasan rutin tenaga kerja’ dijalankan ‘untuk meningkatkan kecekapan operasi,’ kata Samsung Electronics dalam satu kenyataan.

    “Syarikat ini belum menetapkan sasaran jumlah untuk mana-mana jawatan tertentu,” tambah pengeluar telefon pintar Galaxy itu.

    Bloomberg melaporkan bahawa pemecatan tersebut mungkin akan menjejaskan kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerja di pasaran-pasaran berkenaan.

    Firma yang berpusat di Suwon itu menggaji lebih daripada 267,800 pekerja, dengan lebih separuh daripada jumlah tenaga kerjanya berada di luar negara.

    Pengurangan itu dilakukan selepas pengeluar cip AS, Intel, mengumumkan pada bulan Ogos bahawa ia akan mengurangkan lebih daripada 15 peratus tenaga kerjanya dalam usaha ketika ia berusaha menyelaraskan operasi setelah dilaporkan mengalami kerugian sebanyak AS$1.6 bilion pada suku kedua.

    Sebaliknya, Samsung menyaksikan pertumbuhan paling pesat sejak 2010, dengan keuntungan operasi melonjak pada suku kedua kepada 10.44 trilion won, apabila harga cip kembali pulih dan permintaan untuk AI generatif terus meningkat.

    Jumlah itu mewakili peningkatan sebanyak 1,462.29 peratus daripada 670 bilion won dalam tempoh yang sama tahun lalu, melebihi jangkaan pasaran. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda