WASHINGTON, 26 JUN – Pemangku Pesuruhjaya Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS), John Sanders memberikan bayangan akan meletak jawatan berikutan peningkatan jumlah pendatang tanpa izin yang menyeberangi sempadan AS-Mexico, lapor agensi berita Xinhua.
Beliau memberikan bayangan itu menerusi mesej yang dihantar kepada pegawai agensi terbabit.
Dalam mesejnya itu beliau tidak menyatakan sebab peletakan jawatannya yang akan berkuat kuasa 5 Julai.
Baru-baru ini, agensi itu dikritik kerana gagal mengekang kemasukan keluarga migran di sepanjang sempadan.
Media tempatan melaporkan ratusan kanak-kanak migran telah dipindahkan dari fasiliti Peronda Sempadan di Texas.
Pada Mei, pegawai penguatkuasa undang-undang AS menahan lebih 130,000 orang yang cuba menyeberangi sempadan secara haram, jumlah bulanan tertinggi dalam tempoh 13 tahun. – Bernama
