MADRID, 21 APRIL – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti hari ini mengadu tentang kalendar bola sepak yang padat dan menegaskan sesuatu perlu diubah untuk melindungi pemain.
Madrid menewaskan Chelsea minggu ini untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan mereka akan bermain perlawanan pertama tiga hari selepas bersaing menentang Osasuna dalam perlawanan akhir Copa del Rey.
“Jadual perlawanan itu adalah jadual yang telah kami sebutkan berkali-kali, secara objektif tidak masuk akal,” kata Ancelotti pada sidang akhbar.
“Ia terlalu padat, terdapat terlalu banyak perlawanan. La Liga memikirkan tentang diri mereka sendiri, persekutuan (bola sepak Sepanyol) memikirkan tentang diri mereka sendiri, UEFA memikirkan diri mereka sendiri, FIFA memikirkan tentang diri mereka sendiri, dan mereka tidak menghiraukan pemain.
“Ia bukan laluan yang baik untuk bola sepak, sesuatu perlu diubah, terlalu banyak perlawanan.”
Walaupun aksi final piala semakin hampir, pada 6 Mei dan lawatan Manchester City ke Santiago Bernabeu pada 9 Mei, Ancelotti berkata dia tidak akan dipaksa untuk menggilirkan pasukannya di antara perlawanan.
“Saya rasa (saya boleh menggunakan pemain yang sama), apa yang perlu diubah ialah rutin yang kami ada selepas perlawanan,” tambah pemain Itali itu.
“Saya tidak risau tentang perkara ini.” – AFP


