Potongan mullet-bob hibrid, gaya rambut berombak semula jadi, gaya jambul pepat dan pelbagai warna rambut merupakan gaya berani yang kian popular sekarang. Namun, sanggul rendah, dalam versi kasual namun anggun merupakan pilihan semua semasa Minggu Fesyen Copenhagen baru-baru ini.
Para penonton seolah-olah terpesona dengan sanggul yang digaya rendah, di mana ia dilengkapi dengan aksesori ikatan rambut klasik dan menarik perhatian.
Ia menampilkan rupa bergaya yang pastinya memberi inspirasi kepada orang ramai musim ini.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Minggu Fesyen Copenhagen, Cecilie Thorsmark, membuat beberapa penampilan dalam sanggul rendah.
TATACARA DANDANAN
Seperti yang awda fahami dari namanya, ia bukan merujuk kepada sanggul di bahagian atas kepala, sebaliknya ia diikat di bahagian atas tengkuk.
Gaya rambut retro yang membawa kita kembali ke awal tahun 1900an, boleh dipadankan dengan topi yang dipakai di samping aksesori lain yang mampu menyerlahkan lagi penampilan seperti mana ditemui di Copenhagen.
Sebaik sahaja awda telah menguasai tatacara dandanan sanggul tesebut, awda seterusnya boleh mempelbagaikannya lagi mengikut imaginasi dan kreativiti.
Walau bagaimanapun, pada hakikatnya gaya jalanan kasual yang terdapat di ibu negara Denmark lebih cenderung menggemari tatacara dandanan sanggul yang kusut seolah-olah mendandannya secara tergesa-gesa, menampakkan hasil sanggul kasual secara semula jadi.
Penampilan itu boleh diselesaikan dengan merapikan seluruh rambut, kadangkala dengan bantuan penyembur rambut untuk rupa yang bergaya.
Walaupun kebanyakan peminat fesyen memilih bahagian tengah rambut untuk versi yang lebih klasik, manakala yang lain memilih untuk menarik semua rambut mereka ke belakang, manakala ada juga yang telah memberi penghormatan kepada fesyen awal 2000an dengan membiarkan beberapa helai rambut mereka terjurai di depan muka mereka.
Idea dandanan itu adalah untuk mengikat rambut dengan cara yang agak kusut.
Awda juga boleh memilih versi yang gaya yang kemas, lebih moden, malah untuk mencipta versi sanggul bertocang, tetapi masih didandan pada kedudukan rendah yang sebenarnya merupakan satu-satunya syarat penting untuk menghasilkan trend berkenaan.
FOKUS PADA AKSESORI
Dalam pelbagai versi yang awda pilih, sanggul rendah sesuai dengan apa sahaja pakaian.
Antaranya skirt panjang atau midi, denim longgar atau seluar pendek, sut, pakaian moden atau kasual termasuk jaket biker.
Inilah gaya rambut yang boleh dipadankan dengan pelbagai jenis pakaian, siang atau malam, pada majlis makan malam, acara sosial atau di tempat kerja.
Selain itu, ia juga boleh dipertingkatkan mengikut mood, citarasa dan perasaan awda, dengan pelbagai aksesori yang juga dijangka akan menjadi popular semula.
Sekiranya awda ingin memilih versi klasik, awda tidak akan membuat keputusan salah dengan memilih getah serba guna yang cukup nipis untuk menggabungkan dengan rambut awda.
Namun untuk gaya Nordic 100 peratus, cuba cari beberapa aksesori yang lebih menyerlah sama ada reben, getah lebar atau scrunchie, sama ada dalam warna yang sepadan
atau sebaliknya yang sesuai dengan penampilan awda.
Di samping itu, awda juga boleh menyelitkan sepit pada rambut bagi tujuan estetik dan praktikal di mana ia dapat membantu mengekalkan lagi dandanan rambut sekali gus merapikan sanggul.
Bagi meningkatkan lagi penampilan, awda juga boleh memakai sepit berbentuk bunga atau rama-rama pada rambut awda untuk menyerikan lagi gaya berkenaan.
Justeru, apa sahaja aksesori yang awda pilih, sanggul rendah sudah pasti akan menjadi gaya hangat dan popular musim ini, membolehkan awda muncul bergaya sama ada majlis kasual atau anggun yang merupakan dua ciri khas fesyen Denmark. – AFP