Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sanggup ambil cuti demi kawal kebakaran hutan

    GORNY ULUS, RUSIA – Khemah yang didirikan oleh ahli bomba sukarelawan di kawasan dataran hutan Siberia sangat sukar dilihat – walaupun hanya dalam jarak beberapa langkah – kerana dilitupi oleh asap tebal. Penyodok dan gergaji mereka seakan peralatan yang terlalu kecil untuk memadam kebakaran besar, ibarat membawa senjata mainan untuk pergi berperang.

    Tetapi kecintaan mereka terhadap kawasan hutan menjadi pendorong utama memadam kebakaran yang semakin merebak dan mungkin menjadi kejadian kebakaran terburuk di Rusia.

    Setakat awal minggu ini, kira-kira 1.88 juta hektar kawasan hutan musnah dijilat api di Rusia – kawasan yang lebih besar daripada wilayah Connecticut di Amerika Syarikat.

    Lebih daripada 5,000 kakitangan bomba terlibat, tetapi dengan skala kebakaran yang terlalu besar sehinggakan 55 peratus api masih belum dipadamkan, menurut Avialesookhrana, agensi yang menguruskan usaha memadamkan kebakaran.

    Ini bermakna anggota sukarelawan, yang membuat keputusan mengambil cuti dari kerja mereka dan bergantung pada duit mereka sendiri atau dana dari pertubuhan bukan kerajaan, adalah langkah yang kecil namun menjadi bantuan sangat penting untuk anggota bomba.

    Para sukarelawan berusaha memadam kebakaran hutan yang berlaku di barat Yakutsk, Rusia. – AP
    Para sukarelawan mengali parit kecil bagi memutuskan laluan kebakaran dari terus merebak. – AP

    Kira-kira 1.88 juta hektar kawasan hutan musnah dijilat api di Rusia. – AP

    “Mereka (para sukarelawan) melakukan tugas dengan baik. Bantuan mereka sangat signifikan kerana kawasan dan jarak yang dilanda kebakaran terlalu luas, jadi lebih ramai orang membantu, lebih efektif usaha kami untuk mengawal kebakaran,” kata Denis Markov, pelatih dari pangkalan bomba di Tomsk, yang turut bekerjasama dengan beberapa orang sukarelawan.

    Kawasan yang paling teruk terjejas adalah Republik Sakha, juga dikenali sebagai Yakutia, di kawasan pendalaman timur laut Rusia, kira-kira 5,000 kilometer dari Moscow.

    Kira-kira 85 peratus kebakaran di seluruh Rusia berlaku di kawasan tersebut dan asap tebal memaksa penutupan sementara lapangan terbang di ibu kota wilayah tersebut, Yakutsk, yang mempunyai penduduk seramai 280,000 orang.

    Ketika asap semakin tebal, Ivan Nikiforov mengambil cuti dari tugasan pejabat di bandar – bukan untuk mengelak dari kondisi udara yang teruk tetapi untuk menuju ke kawasan kebakaran sebagai seorang sukarelawan.

    “Saya rasa adalah penting untuk menyertai sebagai sukarelawan kerana ini negara kami, kami berkongsi tanah dan hutan yang terbakar. Itu membuatkan kami keluar demi anak dan cucu kami,” katanya semasa berada di kawasan perkhemahan di Gorny Ulus di barat Yakutsk.

    Nikiforov bersama kontinjen kecil yang terdiri daripada sukarelawan berusaha memutuskan laluan kebakaran dengan mengali parit, memotong pokok dan mengawal kebakaran kecil bagi menghalang api daripada++ terus merebak.

    Para sukarelawan di kawasan tersebut menerima sokongan dari agensi bukan kerajaan, Sinet-Spark, yang menyediakan beg tidur, sarung tangan dan peralatan berat.

    Alexandra Kozulina, pengarah projek kumpulan berkenaan, berkata Sinet-Spark pada mulanya merancang untuk menghabiskan kewangan mereka ke atas kempen maklumat tetapi membuat keputusan untuk menyediakan peralatan ketika kebakaran semakin teruk.

    “Saya turut percaya kerajaan kami perlu melakukan ini. Saya tidak memahami mengapa ia masih belum dilaksanakan – sama ada tiada dana mencukupi disebabkan oleh pemotongan belanjawan atau ada alasan lain, tetapi kami melakukan apa sahaja yang kami terdaya,” katanya.

    Masalah utama, menurut kebanyakan pemerhati, adalah keluasan hutan yang dilindungi oleh agensi telah berkurangan, bersama dengan jumlah renjer.

    “Saya secara peribadi masih ingat bagaimana setiap daerah terdapat cawangan Avialesookhrana dengan keramaian 15 hingga 20 anggota sukarelawan. Mereka secara konsisten membuat pemantauan dari udara dan cuba memadam kebakaran dengan segera,” kata Fedot Tumusov, ahli parlimen Rusia dari Sakha.

    Kebakaran pada tahun ini di Siberia telah menghasilkan lebih banyak karbon dioksida berbanding tahun-tahun sebelumnya, menurut Mark Parrington, ahli saintis senior di Pusat Eropah bagi Ramalan Cuaca Jangka Sederhana.

    “Kebakaran tersebut melepaskan banyak karbon ke atmosfera,” tambah Parrington. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda