Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Sanggup bayar, saya terima’

    Jika diamati, aktor berpengalaman, Faizal Hussein (gambar) tidak pernah menyepi daripada arena perfileman biarpun persaingan terarah kepada bakat baharu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

    Sejak mula diperkenalkan menerusi filem Darah Panglima pada 1972, aktor menginjak usia 56 tahun itu terus memperkukuhkan nama dan impak lakonan yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

    Bahkan, saban tahun pasti wajah Faizal terpampang di layar perak atau kaca sebagai bintang yang menyinari sesebuah produksi.

    Berkongsi rahsia ampuh dalam gelanggang lakonan, anak kelahiran Gombak, Selangor itu mengaku meletakkan standard tersendiri dengan hanya menerima tawaran yang mampu memberi cabaran.

    Bukan bermaksud menjadi anak seni yang terlalu memilih, namun, Faizal menyifatkan strategi itu sebagai langkah terbaik untuk memastikan diri relevan dan diterima ramai.

    “Kalau diikutkan, saya masih terima tawaran sebagai watak utama. Jadi, mungkin daripada segi penerimaan apa sahaja tawaran perlu selari dengannya.

    “Sejujurnya, saya tak kisah watak yang ditawarkan. Cuma, pada saya, paling penting adalah mesej yang ingin disampaikan dalam sesuatu cerita menerusi watak diberi.

    “Jika diikutkan, saya kurang ambil tawaran watak pembantu seperti bapa. Kecuali kalau watak bapa itu turut menjadi tunjang yang kuat dalam sesuatu naskhah.

    “Sebagai contoh, lakonan saya dalam telefilem Samad Tedung pada 2019. Watak itu akhirnya berjaya melayakkan saya meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama, Anugerah Skrin (ASK) 2019,” katanya kepada BH Online.

    Jelas aktor yang pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-25 pada 2013 menerusi filem Bunohan, beliau akan menimbangkan tawaran sedemikian jika benar-benar diperlukan dan menepati imbuhan dijanjikan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda