KUALA LUMPUR – Walaupun mungkin ada beranggapan wang lebih RM100,000 yang dilaburkan bagi membeli 31 ekor kura-kura darat satu pembaziran, namun bagi Muhammad Jantan, 29, minatnya itu sangat berbaloi juga sebagai terapi menghilangkan penat setelah seharian bekerja.
Minatnya untuk memelihara haiwan reptilia itu berputik apabila melihat ramai pempengaruh media sosial dari Indonesia memiliki haiwan eksotik tersebut.
Bermula Jun tahun lepas dengan membeli dua ekor kura-kura jenis Sulcata yang ketika itu baharu berusia kira-kira empat bulan pada harga RM500 seekor, bapa kepada sepasang cahaya mata berusia lima dan tiga tahun itu terus jatuh cinta dengan reptilia Testudines yang memiliki cengkerang sehingga menambah koleksinya kepada 31 ekor.
“Sekarang saya mempunyai 24 ekor kura-kura darat jenis Sulcata baka African Spurred Tortoise, enam spesies Leopard Tortoise dan seekor jenis Indian Star Tortoise, yang berusia dari sebulan hingga 35 tahun.
“Daripada 31 ekor itu, tiga ekor adalah kura-kura gergasi jenis Sulcata bernama Mila, Bedah dan Habib dengan panjang antara 56 hingga 60 sentimeter dan berat antara 35 hingga 50 kilogram seekor,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Pemilik syarikat perunding pemasaran ini berkata, sebelum mengambil keputusan untuk memelihara kura-kura darat itu, dia terlebih dahulu membuat kajian dan rujukan selama seminggu melalui pelbagai platform di media sosial terutama petua serta kaedah penjagaan haiwan berkenaan.
Dikenali sebagai ‘Abah Sulcata’ di laman sosial TikTok, tabiat pemakanan haiwan yang membiak dengan cara bertelur itu katanya, menjadi salah satu tarikan sehingga dia sanggup berbelanja besar untuk menyediakan makanan untuk haiwan itu setiap hari.
“Kura-kura adalah sejenis haiwan yang sentiasa makan. Jadi, setiap hari saya sediakan makanan dalam kapasiti yang banyak sekitar 10 kilogram tetapi hanya sekali sahaja sehari supaya makanan itu dapat dicerna dengan baik.
“Bagi memastikan tumbesarannya, saya memperuntukkan lebih RM2,500 hingga RM3,000 sebulan bagi menyediakan sayur-sayuran dan buah-buahan seperti sawi, kacang panjang, tembikai, daun bunga raya, mulberi dan rumput segar serta dedak khas yang dicampurkan dengan serbuk kalsium setiap dua kali sehari,” katanya sambil menambah, kura-kura berpotensi terkena penyakit batu karang dan selesema sekiranya terlebih makan.
Berkongsi penjagaan 31 kura-kuranya itu, Muhammad yang tinggal di Durian Tunggal, Melaka berkata, dia membina sebuah kandang khas bersebelahan dengan rumahnya bagi memastikan haiwan itu dapat bergerak bebas sekali gus membantu pembesarannya dengan lebih baik.
Selain itu, Muhammad turut menyediakan sebuah rumah khas yang mempunyai sinar ultraungu B (UVB) dan ultraungu A (UVA) untuk kura-kuranya yang berusia di bawah satu tahun bagi memastikan suhu panas yang diperlukan adalah mencukupi.
“Kura-kura yang masih kecil ini perlu diasingkan daripada kura-kura dewasa kerana khuatir dihempap kura-kura dewasa yang boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.
Tidak boleh berenang, kura-kura darat menurut Muhammad hanya berada di dalam air ketika sedang melakukan proses pencernaan dan sekiranya diletakkan di dalam air, paras air perlu berada pada paras cengkerang sahaja untuk mengelakkan reptilia itu daripada lemas.
Bagi memastikan haiwan peliharaannya mengikut prosedur yang betul, dia memastikan kesemua kura-kura daratnya itu mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Setiap kura-kura yang dibela perlu didaftarkan dengan Perhilitan dan lesen itu perlu diperbaharui setiap tahun. Proses untuk mendapatkannya sangat mudah, hanya dengan membawa resit pembelian ke Perhilitan dan akan siap dalam tempoh 30 minit sahaja,” katanya.
Menyedari harga jualan bagi haiwan tersebut yang agak tinggi di negara ini, Muhammad merancang untuk mendapatkan lesen penternak daripada Perhilitan bagi menternak dan menjual kura-kura daratnya secara sah mengikut undang-undang kepada peminat haiwan eksotik itu.
“Untuk merealisasikan hasrat itu, saya perlu mempunyai sebuah kedai fizikal bertujuan mempamerkan sebahagian koleksi kura-kura untuk tatapan pembeli,” katanya sambil berharap impian untuk menjadi penternak kura-kura darat dapat dilaksanakan hujung tahun ini. – Bernama