CLEVELAND, 19 MAC – Seorang ibu dari Ohio yang anak perempuannya berusia 16 bulan meninggal selepas ditinggalkan bersendirian di dalam kandang main selama 10 hari pada musim panas lalu ketika dia pergi bercuti, hari ini telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol.
Kristel Candelario, 32, telah mengaku bersalah bulan lalu atas pembunuhan yang lebih teruk dan membahayakan kanak-kanak sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan dengan pendakwa raya Daerah Cuyahoga, yang menolak dua pertuduhan membunuh dan pertuduhan serangan feloni.
Pihak berkuasa berkata Candelario meninggalkan anak perempuannya, Jailyn, di rumah mereka di Cleveland ketika dia pergi bercuti ke Detroit dan Puerto Rico pada Jun 2023.
Setelah kembali 10 hari kemudian, dia mendapati Jailyn tidak bernafas di dalam kandang main dan segera menghubungi 911. Pihak responden kecemasan mendapati kanak-kanak itu mengalami ‘dehidrasi teruk’ dan disahkan meninggal dunia sejurus selepas mereka tiba.
Laporan bedah siasat oleh pejabat pemeriksa perubatan Daerah Cuyahoga mendapati anak damit itu meninggal dunia akibat kelaparan dan dehidrasi yang teruk.
Hakim Mahkamah Rayuan Umum Daerah, Brendan Sheehan memberitahu Candelario dia melakukan ‘pengkhianatan terakhir’ dengan meninggalkan anak perempuannya sendirian tanpa makanan.
“Sama seperti awda tidak membiarkan Jailyn keluar dari kurungannya, begitu juga awda harus menghabiskan sisa hidup awda di dalam sel tanpa kebebasan,” kata Sheehan.
“Satu-satunya perbezaannya ialah, penjara sekurang-kurangnya akan memberi makan dan minum kepada awda yang enggan awda berikan kepada anak sendiri,” tambahnya.
Candelario, yang telah mengalami masalah kemurungan dan isu kesihatan mental yang berkaitan, berkata dia telah berdoa setiap hari memohon pengampunan. – AP


