Saturday, May 10, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sanggup jual rumah demi kehidupan lebih baik

    ENAM sekeluarga yang bosan dengan kehidupan di kota telah menukar rumah mereka kepada sebuah treler sebelum menggembara sejauh lebih 160,000 kilometer ke seluruh Amerika Syarikat.

    Jonathan Longnecker, 38, dan isterinya Ashley, 35, berkata, kehidupan mereka sebelum ini berkisar di sekitar pembayaran ansuran pinjaman dan menyelenggara rumah teres empat bilik tidur milik mereka.

    Pasangan dari Knoxville, Tennessee itu mendapat idea untuk menggembara bersama empat orang anaknya selepas melihat rakan Jonathan memulakan pengembaraan serupa dengan anak remajanya.

    Jonathan, seorang pereka laman web menyedari bahawa dia boleh terus melakukan pekerjaannya di jalanan dan Ashley boleh mengajar pelajaran sekolah pada anak mereka, Adali, 12; Jett, 11; Jax, 9 dan Ada, 7.

    Oleh kerana ingin mencari perubahan, pasangan itu kemudiannya menjual rumah mereka pada bulan April 2015 sebelum melunaskan pinjaman bank dan menggunakan wang lebihan berjumlah AS$40,000 (£31,000) untuk membeli sebuah karavan.

    Keluarga itu memulakan penggembaraan ke Maine pada Mei 2015 dan menghabiskan musim sejuk di Florida Keys sebelum menjual karavan berkenaan untuk membeli sebuah treler pada harga AS$13,000 (£10,000) pada musim panas 2016.

    Pasangan itu kemudiannya mengambil masa enam bulan untuk mengubah suai treler berkenaan dengan AS$30,000 (£23,000).

    Enam sekeluarga yang bosan dengan kehidupan di kota telah menukar rumah mereka kepada sebuah treler sebelum menggembara sejauh 160,000 kilometer ke seluruh Amerika Syarikat. – Agensi
    Jonathan, seorang pereka laman web menyedari bahawa dia boleh terus melakukan pekerjaannya di jalanan dan Ashley boleh mengajar pelajaran sekolah pada anak mereka, Adali, 12; Jett, 11; Jax, 9 dan Ada, 7. – Agensi
    Keluarga itu memulakan penggembaraan ke Maine pada Mei 2015 dan menghabiskan musim sejuk di Florida Keys sebelum menjual karavan berkenaan untuk membeli sebuah treler pada harga AS$13,000 (£10,000) pada musim panas 2016. – Agensi
    ATAS & BAWAH: Menurut Jonathan, mereka sekeluarga tidak pernah mempunyai pengalaman menggembara yang menarik sebelum ini. Katanya, di dalam treler itu terdapat meja yang boleh dilipat menjadi katil bersaiz queen dan empat katil untuk anak-anak yang boleh ditukar menjadi sofa. – Agensi

    Sehingga kini, keluarga berkenaan telah menggembara ke 30 buah negeri di Amerika Syarikat dan mereka tidak bercadang untuk berhenti dalam masa terdekat.

    “Kami sebelum ini menjalani kehidupan yang menjadi idaman kebanyakan orang di mana kami mempunyai sebuah rumah yang besar.

    “Saya juga menjalankan perniagaan pembangunan laman web yang berjaya.

    “Bagaimanapun, kami terlalu banyak berbelanja untuk membayar pinjaman dan menyelenggara rumah,” katanya.

    Menurut Jonathan, mereka sekeluarga tidak pernah mempunyai pengalaman menggembara yang menarik sebelum ini.

    Katanya, di dalam treler itu terdapat meja yang boleh dilipat menjadi katil bersaiz queen dan empat katil untuk anak-anak yang boleh ditukar menjadi sofa.

    Bahan buangan dikompos dan mereka juga mempunyai panel solar untuk bekalan elektrik.

    Keluarga itu yang kini berada di South Dakota telah memperlahankan pelan pengembaraan mereka dengan menetap di satu-satu tempat selama tiga minggu secara purata.

    Pengalaman menarik menggembara termasuk ke Kepulauan Dry Tortugas iaitu mereka menaiki feri sejauh kira-kira 110 kilometer dari pantai Key West, Florida ke sebuah pulau terpencil di kepulauan berkenaan.

    “Kami berkhemah di sana selama dua malam dan hanya kami yang berada di situ ketika itu.

    “Bintang-bintang kelihatan sangat terang seolah-olah boleh dipetik dari langit. Ia satu perasaan yang amat menakjubkan,” kata Asley.

    Pasangan itu memberitahu, makanan dan bahan bakar adalah perbelanjaan terbesar ketika mengembara, namun rutin mereka di jalanan sama seperti keluarga lain.

    Menurut Asley, kebanyakan waktu pagi mereka dipenuhi dengan melakukan pekerjaan, belajar dan membaca sebelum keluar untuk pergi melakukan aktiviti pengembaraan.

    “Adakalanya kami mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan sehingga perlu seharian bekerja.

    “Namun, kebanyakan waktu petang kami dihabiskan melakukan perkara-perkara yang menyeronokkan,” katanya.

    Walaupun Ashley merindui kehidupan lamanya, pasangan itu yakin kehidupan mereka kini memberi kesan positif pada kehidupan anak-anak.

    “Kami melihat peralihan yang besar pada anak-anak. Mereka menghabiskan lebih banyak masa di luar mencari dan kreatif dengan perkara-perkara di sekeliling mereka.

    “Pengetahuan mereka terhadap kehidupan juga telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda