XINJIANG, 29 OKT – Seorang lelaki berusia 31 tahun telah dipuji kerana sikapnya yang patut dicontohi selepas menjual harta untuk mengembara bersama ibunya yang lumpuh dengan cara menggendong di belakangnya.
Menurut Oddity Central, Xiao Ma baru berusia lapan tahun apabila ibu bapanya terlibat dalam kemalangan kereta yang dahsyat meragut nyawa bapanya dan menyebabkan ibunya tidak dapat bergerak.
Dia dan kakaknya terpaksa menjaga diri mereka serta ibu mereka, yang kemudiannya disahkan menghidap atrofi serebrum atau kelumpuhan dalam otak akibat daripada kemalangan itu.
Semasa membesar, dia bekerja di ladang memetik kapas, menjadi pelatih dalam pelbagai bidang sebelum membuka restorannya sendiri di Xinjiang.
Kebanyakan wang hasil perniagaan digunakan untuk pemulihan ibunya dan kerja kerasnya nampaknya berhasil setelah ibunya perlahan-lahan pulih berupaya meninggalkan katil untuk duduk di kerusi roda dan seterusnya melangkah kecil.
Walau bagaimanapun, beberapa tahun yang lalu, Xiao Ma mendapat berita yang mendukacitakan apabila mendapat tahu penyakit ibunya bukan sahaja tidak dapat diubati tetapi menjadi semakin teruk.
Keupayaan otak ibunya juga semakin susut menjadi seperti anak kecil kesan penyakit itu, jadi Ma ingin meluangkan bersama sebanyak mungkin sementara ibunya masih boleh menghargai detik-detik berkenaan.
Ketika itulah dia memutuskan untuk memanfaatkan masa yang dia ada untuk dihabiskan bersama ibunya sebaik mungkin.
Daripada menumpukan perhatian pada perniagaannya, Xiao Ma memutuskan untuk menjual rumah dan keretanya supaya dia boleh membawa ibunya bersiar-siar di sekitar China.
Mereka telah melawat Gunung Tianshan, Tasik Tianchi dan tempat-tempat lain di Xinjiang, serta Dataran Tiananmen Beijing dan Tembok Besar.
Ibunya kini tidak lagi boleh bercakap, tetapi dia sentiasa tersenyum ketika mereka melancong. Itu sudah cukup baik untuk Xiao Ma kerana ibunya pernah mengatakan dia sedih apabila hanya mampu terbaring di atas katilnya.
“Kasih sayang tidak boleh tunggu, ketaatan anak tidak pernah terlambat dan tindakan segera adalah jawapan terbaik,” kata Xiao Ma baru-baru ini.
“Ibu saya menggendong saya semasa saya kecil, dan sekarang saya pula menggendongnya.”
Gambar lelaki berusia 31 tahun yang menggendong ibunya di Dataran Tiananmen menjadi tular di media sosial China mengundang pujian jutaan orang di seluruh negara.
Kini Xiao Ma telah menggendong ibunya yang kurang upaya selama bertahun-tahun dan mendokumentasikan perjalanan mereka melalui video pendek yang disiarkan di Douyin, laman TikTok versi China. Malah, sokongan daripada pengikutnya membolehkan Ma meneruskan perjalanan bersama ibunya.
“Rumah saya adalah di mana ibu saya berada,” kata Xiao Ma apabila ditanya bila dia mahu pulang ke rumah, sambil menambah bahawa dia tidak mahu menyesal dengan tahun-tahun terakhir hayat ibunya. – Agensi