Saturday, January 4, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sanggup potong jari daripada mohon berhenti kerja

    GUJARAT, 1 JAN- Seorang lelaki India berusia 32 tahun mengaku memotong empat jari di tangan kirinya bagi mengelak daripada terus bekerja sebagai pengendali komputer di syarikat milik saudaranya

    Belajar untuk mengatakan ‘tidak’ kedengarannya mudah, tetapi bagi sesetengah orang, ia mungkin lebih sukar berbanding dengan mencacatkan diri sendiri seumur hidup.

    Oddity Central melaporkan awal bulan lepas, Mayur Tarapara muncul di sebuah balai polis di bandar asalnya, Surat membuat laporan bahawa empat jari dari tangan kirinya telah hilang.

    Dia mendakwa sedang menunggang motosikal ke rumah rakannya sebelum tiba-tiba berasa pening dan pengsan di tepi jalan. Setelah tersedar 10 minit kemudian, empat jari di tangan kirinya telah dipotong.

    Polis pada mulanya percaya bahawa jari lelaki itu telah dicuri untuk tujuan ritual ilmu hitam, tetapi siasatan mereka mendapati terdapat kesangsian yang besar dalam cerita Mayur.

    Kes pelik itu didaftarkan di balai polis Amroli di Surat sebelum dipindahkan ke Cawangan Jenayah bandar itu. Penyiasat mula memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan di mana dia mendakwa dirinya pengsan serta menyiasat saksi, tetapi hampir tiada apa yang betul.

    Mayur kelihatan meletakkan motosikalnya berhampiran suatu jalan pusing keliling sebelum berlalu pergi dan pulang dengan tangan kiri yang cedera. Tambahan pula, tiada siapa yang melihatnya pengsan di tepi jalan. Setelah didesak polis, lelaki itu akhirnya mengaku memotong jarinya sendiri.

    “Tarapara mengaku dia membeli pisau tajam dari sebuah kedai berhampiran Char Rasta di Singanpore, kata seorang pegawai polis kepada The Hindu. “Empat hari kemudian, dia pergi ke Jalan Pusing Keliling Amroli dan meletakkan motosikalnya di situ. Kira-kira jam 10 malam, dia memotong empat jari menggunakan pisau dan mengikat tali berhampiran sikunya untuk menghalang aliran darah. Dia kemudian memasukkan pisau dan jari-jarinya yang putus ke dalam beg sebelum membuangnya.”

    Mayur Tarapara dengan tangannya yang berbalut. – Oddity Central

    Akhirnya, Mayur Tarapara dengan berat hati memberitahu penyiasat bahawa dia terpaksa mencacatkan dirinya kerana dia tidak mahu bekerja di syarikat berlian milik saudaranya lagi. Dengan kehilangan empat jarinya, ia boleh menyebabkan dia tidak layak untuk berkerja di situ lagi.

    Polis kemudiannya berjaya menemui sebuah beg dengan tiga jari lelaki itu, tetapi mereka masih berusaha mendapatkan maklumat lanjut daripadanya.

    “Dia mengaku tidak mahu bekerja di kilang berlian itu dan bercadang untuk memotong empat jarinya supaya dia tidak perlu bekerja di kilang berlian itu,” kata seorang penyiasat. “Kami cuba mencari lebih banyak maklumat daripadanya.” – Agensi

    Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda