TUTONG, 2020 – Seorang lelaki penjual nombor 4D sanggup menelan kertas loteri yang dijualnya ketika anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) membuat serbuan dengan waran geledah ke atas sebuah rumah di Kampung Luagan Timbaran, Tutong.
Serbuan jam 10:41 pagi itu diketuai oleh seorang pegawai dan lapan orang anggota Balai Polis Tutong dan Balai Polis Lamunin. Semasa serbuan dijalankan, supek iaitu seorang lelaki penduduk tetap, yang tidak bekerja telah menelan secebis kertas kecil mengandungi nombor taruhan 4D.
Turut bersubahat membantu suspek menjual nombor loteri ialah seorang wanita warga Filipina berusia 50 tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah penjual itu.
Semasa serbuan, anggota PPDB turut mendapati seorang lelaki warga Bangladesh, berusia 39 tahun yang bekerja sebagai tukang potong rumput, membeli nombor loteri itu. Manakala ketika menggeledah seluruh rumah dan kawasan berhampiran, pihak PPDB menemui sejumlah wang taruhan, sebuah telefon bimbit milik wanita Filipina yang mengandungi nombor 4D yang dihantar oleh orang-orang yang melanggan nombor 4D, secebis potongan kertas kecil yang mengandungi nombor taruhan dan wang berjumlah $11. Cebisan kertas itu bagaimanapun sempat ditelan oleh penjualnya.
Kesemua barang bukti telah dirampas dan ketiga-tiga suspek dikeluarkan jaminan polis berjumlah $1,000 setiap seorang dengan jaminan seorang warga tempatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (C) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28 yang boleh membawa hukuman denda maksimum $20,000 dan 12 bulan penjara.