Heroin filem Punjabi pertama Malaysia berjudul Mundey Kampung Dey iaitu Sanjna Suri berharap bakat lakonannya lebih mendapat perhatian syarikat produksi tempatan.
Dalam mengatur langkah menyambut tahun baharu, tiada apa yang dimahukan gadis berusia 29 tahun ini selain terus mewarnai industri seni tanah air dengan bakat dimilikinya.
Pemenang Miss Intercontinental Malaysia 2017 dan Miss Supranational Malaysia 2018 itu menyifatkan peluang menembusi arena lakonan tempatan agak sukar berikutan dirinya bukan Melayu.
Bagi aktres kelahiran Ipoh, Perak ini, dia mahu peluang berlakon diberi secara adil kepada semua pihak, malah sedia menggalas watak sebagai wanita Muslim.
“Saya mula terbabit dalam lakonan pada 2018. Dalam industri hiburan Melayu, saya bermula sebagai watak sampingan dalam naskhah Pengantin Satu Malam di samping Amelia Henderson dan Nazim Othman.

“Jujurnya, tidak mudah nak menembus dunia hiburan tempatan kerana saya bukan Melayu. Saya selalu diberi watak bukan Melayu, selalunya, watak wanita India atau wanita berdarah campuran.
“Saya hendak pecahkan stereotaip kerana benar-benar berminat hendak berada di pasaran arus perdana. Saya tak kisah cerita itu memerlukan saya memakai tudung, melakonkan babak aksi atau watak ‘tomboy’.
“Saya 100 peratus terbuka terima watak wanita Muslim. Saya hormati semua agama dan memang membesar dalam kalangan orang Islam,” katanya kepada BH Online.
Pada masa sama, Sanjna yang pernah menimba ilmu lakonan dengan seniwati Fauziah Ahmad Daud, enggan dirinya terus dibayangi gelaran ratu cantik semata-mata.
Sebaliknya, Sanjna mahu membuka lembaran baharu dalam dunia seni dengan bakat tulen dalam bidang lakonan dimilikinya. – Agensi