Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Setia Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kereta jenama Hyundai di negara ini telah melancarkan Hyundai Santa Fe generasi keempat di Dewan Royal Birkshire, Royal Brunei Polo & Riding Club, Jerudong, kelmarin.
Pelancaran Santa Fe serba baharu itu dihadiri oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Muiz bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Pengurus Besar Setia Motors Sdn Bhd, James Chin. Turut hadir rakan-rakan korporat.
Pengurus Jualan Setia Motors Sdn Bhd (Hyundai), Awang Fadhilah bin Haji Sulaiman menyampaikan maklumat mengenai sejarah perubahan Santa Fe dari generasi pertama sehingga sekarang, ciri-ciri dan fungsi yang ada di dalam model terbaharu itu kepada para jemputan.
Generasi terbaru Santa Fe yang dikenali sebagai SUV berkuasa tinggi itu kini tampil lebih menarik dengan teknologi terkini dan ruang yang lebih besar sesuai bagi kegunaan keluarga.


Reka bentuk Santa Fe ini juga elegan dengan lampu utama berkembar dan reka bentuk jerijinya nampak lebih mewah juga sudah menampakkan kelainan berbanding model terdahulu. SUV tujuh tempat duduk yang cukup menawan dengan garisan lebih menarik ini berukuran 4,770mm panjang dan 1,890mm lebar dengan jarak roda juga lebih jauh.
Dari segi keselamatan, Santa Fe baharu dilengkapi dengan enam beg udara dan rangka besi Advanced High Strength Steel (AHSS). Enjinnya didatangkan dengan dua pilihan iaitu enjin petrol DOHC 2.4 MPI 4-Silinder atau enjin diesel 2.2 CRDi 4-Silinder.
Semasa majlis pelancaran kelmarin, majlis turut menyaksikan tiga pelanggan terawal Hyundai Santa Fe terbaharu iaitu Awang Mohammad Mahatir bin Haji Maidin, Dayang Faten Salwa binti Haji Ibrahim dan Hajah Jaitunah binti Haji Tuah menerima kereta mereka.