Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Bagi menyemarakkan keindahan bulan suci Ramadan, baru-baru ini, Persatuan Alumni Kolej International Graduate Studies (KIGSAA) telah berjaya menganjurkan acara Santai, Kira Imarahkan Ramadan dan Sahur Sabtu bertempat di kampus Kolej IGS di Kiulap.
Acara berkenaan dihasratkan untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk sama-sama menambah amalan pada bulan mulia ini dengan mendidik jiwa dalam meningkatkan ilmu pengetahuan Islam menerusi ceramah sebagai kemuncak acara tersebut.
Acara turut diisikan dengan sebuah ceramah bertajuk Apa Khabar Ramadan Kita? yang disampaikan khas oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Unit Ceramah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, dan dipengerusikan oleh Dayang Nur Faizah binti Mohamad Khairol Azmi. Antara pengisian ceramah berkenaan menyentuh mengenai amalan-amalan yang boleh diambil iktibar pada bulan Ramadan.
Kira-kira 80 orang peserta telah menghadiri ceramah tersebut dari pelbagai latar belakang, terutamanya kehadiran dari persatuan belia masjid tempatan dan majlis pelajar universiti.
Sehubungan itu, acara Sahur Sabtu juga adalah untuk memberikan peluang kepada orang ramai bagi membeli makanan, minuman atau bersahur bersama keluarga dan rakan. Ini juga memberikan peluang kepada perniagaan tempatan, khusus perusahaan kecil dan sederhana untuk berniaga dan memperkenalkan produk dan servis mereka.
Dalam acara tersebut, 14 buah perusahaan kecil dan sederhana tempatan telah mengambil bahagian dalam jualan makanan, minuman, dan barang-barang tradisional hari raya.
Acara itu merupakan inisiatif pertama yang dianjurkan oleh KIGSAA, di mana persatuan berkenaan akan terus mengadakan aktiviti-aktiviti atau program yang bersesuaian dan menambah faedah kepada orang ramai berserta meningkatkan kesedaran bagi menyokong Kolej IGS dalam membarigakan kursus-kursus yang ditawarkan.



