Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Lebih 15 vendor menyertai Gerai Ramadan Jerudong Park (JP) yang julung kalinya diadakan di Jerudong Park Garden dan melibatkan pengusaha-pengusaha tempatan.
Pelbagai barangan seperti juadah bersungkai, pakaian-pakaian dan banyak lagi dijual semasa acara anjuran JPCC Sdn Bhd di mana kemasukan ke Jerudong Park Garden adalah percuma.
Diadakan dengan berkonsepkan santai, para pengunjung boleh berbuka puasa di tempat yang disediakan bersama rakan-rakan dan ahli keluarga mereka selain juga turut disediakan surau bagi kemudahan orang awam menunaikan kewajiban sembahyang fardu dan sunat Tarawih.
Pada setiap Jumaat, JPCC turut mengadakan Lensa Ramadan dengan mengetengahkan ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah-penceramah undangan yang memfokuskan pelbagai topik menarik.