MILAN – Koleksi busana Moschino untuk musim luruh dan musim sejuk akan datang merupakan satu perayaan dan juga perubahan, memberikan mesej yang bercampur diserlahkan oleh konfeti hitam semasa acara akhir Minggu Fesyen Milan baru-baru ini.
Pakaian tebal rekaan Pengarah Kreatif, Adrian Appiolaza, menggesa penonton bersikap terbuka untuk mengungkapkan kreativiti semasa acara penutupnya.
“Mood Moschino menumpu kepada suasana gembira, jadi saya tidak mahu kehilangan sentimen itu. Tetapi saya juga mahu mengambil kira tentang penampilan era moden sekarang,” kata Appiolaza.
Motif keseluruhan koleksi adalah santai dan ceria, dengan jenama menggunakan trompe l’oeil yang menarik.
Gaya denim menunjukkan jahitan jelujur tukang jahit. Pakaian berbulu kelabu menampilkan elemen arca besar, mempamerkan skirt labuh dan lengan berbentuk loceng.
Kot gaya puffer bersaiz besar dipadankan dengan penutup kepala kelihatan seperti kusyen sofa.
Gaun yang menawan dibuat dengan gaya hiasan yang memaparkan bunga dari arkib Moschino.
Pertunjukan berakhir dengan slogan daripada arkib pengasas mendiang Franco Moschino, Save our Sphere, disusuli oleh seorang model membawa beg tangan kecil berbentuk bulat. – AP